Monday, September 20, 2010

AS laksana dasar tukar rejim


- SUHAIMI MOKHTAR

Di antara beberapa ciri terpenting dasar luar Amerika Syarikat (AS) sepanjang masa, siapa pun menjadi presiden, sama ada dari Parti Demokrat atau Parti Republikan, ialah melaksanakan dasar pertukaran rejim terhadap mana-mana negara yang tidak sehaluan dengan AS atau menolak untuk mengikut acuan dikehendaki AS. 

Dasar ini diamalkan AS bagi menjamin orde baru dunia selaras dengan agenda global AS. Dasar ini pula sinonim dengan dasar 'war on terror' atau perang menentang keganasan diperkenalkan Presiden dari Parti Republikan, George W Bush, yang menjadi presiden selama lapan tahun dari tahun 2000 hingga 2008, sebelum diambil alih Barack Obama dari Parti Demokrat, yang memenangi pilihan raya presiden pada November 2008. 

Dasar dua presiden ini tidak jauh berbeza, walaupun mereka dari parti berbeza. Bahkan tema kempen Obama yang menganjurkan perubahan semasa pilihan raya tidak pun mengubah dasar asas AS dalam menangani negara-negara dunia, terutama negara umat Islam. Fokus utama dasar AS terhadap negara umat Islam ialah dasar menentang keganasan. 

Selepas era perang dingin Timur-Barat di mana blok timur diwakili Kesatuan Soviet (bekas), AS menumpukan pula dasar-dasarnya meliputi politik, ekonomi dan lain-lain menangani negara-negara umat Islam, lebih-lebih lagi selepas peristiwa 9/11. 

Barack Obama yang menjanjikan perubahan sebenarnya tidak mampu melakukan perubahan dijanjikan. Apa berlaku Obama mewarisi legasi ditinggalkan Bush dan meneruskan dasar-dasar hampir sama terhadap negara-negara umat Islam seperti dilaksanakan Bush. 

Dasar Bush menukarkan rejim negara umat Islam seperti yang berlaku dengan menumbangkan pemerintahan Taliban di Afghanistan dan menjatuhkan rejim Saddam Hussien di Iraq dengan penaklukan dan penjajahan, langsung diwarisi Obama dengan meneruskan apa ditinggalkan Bush. 

Bush tidak berjaya dalam perang menentang keganasan kerana rakyat di negara-negara ditumbangkan pemerintahannya tidak seluruhnya menyokong polisi AS ini. Tetapi dalam konteks pertukaran rejim, AS berjaya menukarkan pemerintahan yang tidak sehaluan dengan agenda AS. 

Polisi AS, “kamu bersama AS atau tidak” telah menukarkan rejim-rejim yang menghalang agenda orde baru dunia atau menghalang agenda global AS terhadap dunia dan negara-negara umat Islam. AS menggunakan kekuatan peralatan ketenteraannya yang paling canggih untuk menguasai dan menjajah negara-negara umat Islam. 

Mana-mana negara umat Islam yang sebulu dan sanggup bersekongkol dan bersama AS, tidak perlu dilakukan penaklukan dan penjajahan dengan menggunakan kekuatan peralatan ketenteraan. Cukuplah negara-negara ini melaksanakan agenda disaran AS dan mereka mendapat perlindungan AS. 

Di antara negara-negara ini, ada yang mendapat bantuan ekonomi berjumlah berbilion dolar AS dan ada pula menjemput penempatan pangkalan tentera AS diwujudkan di negara-negara mereka. Mesir sebagai contoh menerima bantuan kewangan dan ekonomi berjumlah berbilion dolar AS, sementara beberapa negara Arab di Timur Tengah menerima penempatan pangkalan tentera AS di negara mereka. 

Negara-negara umat Islam ini menerima pakai agenda dasar disarankan AS dan mereka bagaikan menerima kehendak kata dua Bush, sama ada “bersama AS atau tidak”. Mereka akur untuk bersama AS dan dengan demikian berada di bawah hegemoni dasar AS. 

Akibat daripada itu, Mesir tidak teragak-agak untuk memusnahkan terowong-terowong yang digali di sempadan Semenanjung Gaza dengan Refah, wilayah Mesir, yang digunakan sebagai saluran untuk mendapat bekalan harian, perubatan dan lain-lain apabila sekatan terhadap Gaza yang masih di bawah penaklukan rejim Zionis Yahudi. Sekatan ini berjalan sejak tiga tahun lalu sebaik sahaja Hamas memenangi pilihan raya Pihak Berkuasa Palestin. 

Polisi tukar rejim ini juga cuba dilaksanakan di Iran, tetapi setakat ini AS masih lagi menyerang Iran dengan perang propaganda untuk menguji kesabaran Iran. Iran pula setakat ini memainkan peranan yang bijaksana dalam menangani polisi agresif AS terhadapnya. Pelbagai sekatan dikenakan dan hingga ini paling maksimum, masih tidak dapat menundukkan Iran. 

Peluang terbaik bagi AS digunakan sepenuhnya semasa pilihan raya presiden Iran dengan mencemuh pilihan rakyat Iran terhadap Mahmoud Ahmadinajed dengan menganggap pilihan raya itu dicemari penyelewengan dan akibatnya berlaku demonstrasi jalanan dan agitasi politik bagi mencabar kepimpinan Iran. 

Tetapi apa berlaku tidak mengurangkan sedikit pun keiltizaman politik rakyat Iran bagi menghadapi kekuatan sebesar kekuatan AS dan sekutu baratnya. AS mengambil sikap berhati-hati terhadap Iran, tetapi tidak menolak kemungkinan untuk melakukan serangan bersenjata terhadap Tehran. 

Persoalannya, mampukan AS membuka satu medan perang baru dengan masih wujudnya medan-medan perang sedia ada di Iraq dan Afghanistan. Walaupun AS telah memulakan pengunduran tenteranya dari Afghanistan dan Iraq serta tidak lagi melibatkan tenteranya di medan tempur, tetapi hakikatnya AS masih berada di dua bumi umat Islam itu dan masih lagi menaklukinya. 

Akhirnya AS akan mengabui dunia dengan kononnya meninggalkan bumi umat Islam ini, tetapi sebenarnya AS akan mengekalkan pangkalan tenteranya di bumi-bumi umat Islam ini, sebagai simbolik bahawa negara-negara ini selepas pertukaran rejim, kini berada di bawah penaklukan dan penjajahan kuasa itu, 

AS juga kononnya membawa demokrasi di negara-negara yang ditakluki ini dan mengadakan pilihan raya ketika berada di bawah penaklukan. Mana mungkin demokrasi dilaksanakan ketika negara berada di bawah penjajahan dan penaklukan. 

AS gagal membawa demokrasi di negara-negara umat Islam. Di Iraq selepas pilihan raya kedua, setelah enam bulan berlalu, masih tidak mampu mewujudkan sebuah rejim yang telah ditukarkan oleh AS selepas penaklukan pada 2003. 

Di Afghanistan pula pilihan raya presiden yang memilih Hamid Karzai untuk kali kedua dicemari dengan penipuan dan penyelewengan pilihan raya. Dalam pilihan raya Parlimen pula yang berlangsung Sabtu lalu, ia dicemari keadaan sama dan jumlah mereka yang keluar mengundi pun masih rendah untuk melihat demokrasi benar-benar berjalan. 

AS gagal dalam polisi perang menentang keganasannya dan untuk membawa demokrasi ke negara umat Islam. Apa yang dicapai AS hanya setakat menukar rejim secara paksa dengan kekuatan ketenteraan. Dasar membawa demokrasi ke negara umat Islam berlangsung dalam suasana penuh hipokrasi kerana wujud negara-negara yang bersekongkol bersama AS, tidak pun, bahkan jauh dari melaksanakan demokrasi. Negara-negara ini mengamalkan autokrasi, kuku besi dan diktator tetapi alah tidak mengapa kerana ia bersekongkol dengan AS. 


*Penulis ialah Perunding Media di Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment