MELAKA 19 Sept. - Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Demikianlah perasaan yang ditanggung oleh seorang warga emas dan juga bapa tunggal, Mazlan Abu Hassan, 60, dari Kampung Simpang Tanjong Kling di sini yang selama hampir 30 tahun tanpa menikmati bekalan air bersih.
Menurut Mazlan, sejak berpisah dengan isteri kira-kira lima tahun lalu, dia terpaksa bergantung kepada tadahan air perigi yang terletak bersebelahan rumah sebagai sumber bekalan air.
Namun katanya, setelah air perigi berkenaan kering, dia terpaksa mengangkut air untuk kegunaan harian dari kemudahan tandas awam yang baru dibina berhampiran rumahnya.
"Akibat masalah itu, anak perempuan saya yang berusia 18 tahun terpaksa pindah dari rumah saya dan tinggal bersama ibunya di bandar Melaka," katanya ketika ditemui Utusan Malaysiadi sini, baru-baru ini.
Katanya, ketiadaan kemudahan asas itu menyukarkan dirinya untuk menjalani kehidupan lebih selesa sehingga menyebabkan dia merasa tidak selesa dan yakin apabila berhadapan dengan masyarakat.
Mazlan yang bekerja mengambil upah menjaga tempat letak kereta di Banda Hilir itu berkata, selain terpaksa mengangkut air dari tandas awam berhampiran, dia menghadapi masalah pendengaran tidak jelas.
"Sewaktu pindah di rumah ini, saya menyedari tiada bekalan air tetapi tidak tahu bagaimana membuat permohonan mendapatkan bekalan air.
"Disebabkan masalah ini sudah berlarutan terlalu lama, saya hanya mendiamkan diri sahaja kerana tidak tahu cara mengatasi dan berjumpa dengan pihak yang berkaitan," katanya.
Menurut Mazlan, dia amat berharap agar ada mana-mana pihak terutama Syarikat Air Melaka Berhad dapat tampil membantunya mendapatkan bekalan air bersih.
Dia juga merayu kepada pihak berkuasa berkaitan agar mempercepatkan proses permohonannya mendapatkan bekalan air memandangkan dia sudah tidak mampu berdepan dengan masalah berkenaan.
Kesulitan yang dihadapi Mazlan itu mendapat perhatian Penyelia Pembela BN, Amir Hamzah Aziz yang memberi jaminan akan segera membantu mempercepatkan permohonan Mazlan mendapatkan kemudahan bekalan air bersih.
"Masalah ini berpunca dari kegagalan Mazlan sendiri yang tidak membuat permohonan mendapatkan bekalan air bersih untuk kediamannya.
"Perkara ini hanya diketahui selepas wakil penduduk dari kawasan tempat tinggal Mazlan melawat lelaki tersebut dan dari situ, kita baru mengetahui tentang apa yang berlaku," katanya.
No comments:
Post a Comment