Monday, September 20, 2010

Isu calon Timbalan Presiden PKR


KUALA LUMPUR 19 Sept. - Sokongan terbuka Nurul Izzah Anwar terhadap calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim mengesahkan wujud konflik antara keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Azmin Ali.
Bekas Naib Presiden PKR, Datin Saidatul Badru Tun Said Keruak berkata, selama ini timbul pelbagai spekulasi mengenai konflik berkenaan, namun ia tidak dapat dipastikan kerana ahli keluarga Anwar hanya mendiamkan diri.
"Sokongan terbuka Nurul Izzah merungkai segala persoalan berhubung hubungan ahli keluarganya yang didakwa tidak baik dengan Azmin.
"Ia mengesahkan konflik berkenaan benar-benar wujud, apatah lagi sokongan itu disuarakan sewaktu Azmin giat membuat persiapan untuk merebut jawatan nombor dua dalam PKR," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas sokongan terbuka Ahli Parlimen Lembah Pantai tersebut terhadap pencalonan Zaid bagi merebut jawatan Timbalan Presiden PKR semasa sidang akhbar di Kuching, Sarawak sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur, Khamis lalu.
Kelmarin, akhbar melaporkan pengakuan Zaid mengenai kekuatan yang dimiliki Azmin dalam persaingan merebut jawatan itu pada pemilihan parti November nanti apabila Naib Presiden PKR itu menjadi calon pilihan Anwar.
Sementara itu, Saidatul Badru yang pernah mempunyai hubungan rapat dengan keluarga Anwar yakin tindakan Nurul Izzah itu dibuat bukan atas arahan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Sebaliknya, kata beliau, ia dibuat atas kapasiti peribadinya sebagai ahli politik muda dan seorang anak yang tidak bersetuju dengan cara bapanya berpolitik.
"Ini hanyalah permulaan kepada episod 'menarik' dalam PKR, kita tertunggu-tunggu untuk melihat antara Nurul Izzah dan Azmin, siapakah yang lebih disayangi Anwar.
"Inilah akibatnya mengheret isteri dan anak ke dunia politik tetapi tidak berterus-terang dengan mereka," katanya.
Beliau dalam pada itu turut mempertikaikan kenapa hanya sekarang barulah ahli keluarga Anwar mula menunjukkan penentangan terbuka kepada Azmin.
Katanya, perkara itu menimbulkan persoalan adakah ahli keluarga Anwar kini terdesak untuk menghalang Azmin.
"Kalau terdesak, apakah puncanya? Sebelum ini Wan Azizah sendiri enggan buka mulut walaupun dicabar berkali-kali supaya menjelaskan kenapa Anwar memberi layanan terlalu istimewa kepada Azmin," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Saidatul Badru menyeru ahli-ahli PKR yang masih taksub kepada Anwar supaya membuka fikiran mereka dengan melihat nasib menimpa Zaid.
"Zaid ini untuk apa? Adakah hanya untuk dipergunakan Anwar sahaja?" soalnya.

No comments:

Post a Comment