Monday, September 20, 2010

Usaha perdamaian di Mindanao

 
- MOHD SAID SUNGIB 

Kepentingan kerjasama serantau tidak dapat dinafikan khususnya bagi negara-negara Asean yang saling menjadi jiran tetangga. Setiap isu yang timbul perlu diselesaikan secara bijaksana tanpa menimbulkan sebarang spekulasi. 

Dalam kelompok Asean setiap konflik dalaman akan memberi kesan langsung dan tidak langsung kepada jiran. Jika tidak ditangani ia boleh menjejaskan hubungan kesepakatan Asean. 

Ini menunjukkan betapa pentingnya krisis jiran yang dihadapi Filipina terutamanya di Mindanao disegerakan agar tiada kuasa besar mengambil kesempatan. 

Krisis dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di Mindanao terus berlanjutan dan Malaysia melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mula melibatkan diri dalam Pasukan Pemantau Antarabangsa (IMT) sejak 9 September 2004 bertujuan memantau gencatan senjata serta perjanjian damai. 

Misi yang pertama hingga TPA-M IV bermula pada 4 September 2007 dan sepatutnya berakhir pada 30 November 2008, terpaksa dipendekkan kepada 10 Mei 2008 kerana keadaan yang dikatakan tidak selamat ketika itu. 

Bagaimanapun misi diteruskan dengan TPA-M V dengan harapan mengawasi proses gencatan senjata dalam mewujudkan suasana yang lebih kondusif untuk proses perdamaian antara Filipina dengan MILF berlaku. 

Malaysia terus diberi kepercayaan oleh kerajaan Filipina dan MILF untuk mengetuai IMT Mindanao buat kali yang kelima bersama-sama dengan pasukan antarabangsa yang lain seperti Libya, Brunei, Indonesia, Jepun, Qatar dan Negara-negara Kesatuan Eropah. 

Keamanan dan pendamaian di Mindanao adalah penting untuk Malaysia, khususnya Sabah yang menjadi sempadan dan pusat pelarian terbesar dari Filipina Selatan ke Malaysia. 

Berikutan itu, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) terpaksa membuka Kem Penempatan Semula Telipok dan tiga kem lain di Sabah (Kinarut, Tawau dan Sandakan) bagi menempatkan mereka yang melarikan diri daripada peperangan antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) sejak awal 1970-an. 

Kebanjiran pendatang asing tanpa izin (Pati) di Sabah begitu serius dan ia memerlukan pelan strategik yang jelas dan pemantauan berterusan kerana ia melibatkan masa depan pelarian Filipina di Sabah. 

Selagi berlakunya pertentangan antara MILF dengan Manila, perang saudara, pelanunan yang berleluasa, selagi itulah rakyat Mindanao akan berasakan diri mereka tidak selamat yang membuatkan mereka migrasi ke Sabah dan tidak kembali ke wilayah itu. 

Fenomena ini bukan baru, memasuki perairan Sabah dan menyusup masuk bukan sahaja sebagai pelarian, tetapi demi untuk meneruskan kehidupan dengan mencari pekerjaan. Ketidakamanan negeri mereka adalah punca utama kenapa mereka keluar meninggalkan tanah air. 

Jumlah kanak-kanak pelarian Filipina yang buta huruf semakin bertambah saban hari, mengikut Pusat Kewartawanan Asia (ACFJ), Ateneo De Manila University berkenaan ini, pelarian di Sabah menyatakan bahawa antara sebab kanak-kanak Filipina ini tidak dapat bersekolah ialah kerana mereka tidak memiliki dokumen kelahiran, masalah kewangan dan ketiadaan kesedaran. 

Paling penting bagi ibu bapa adalah sedikit wang untuk meneruskan hidup. Kehidupan harian bagi mereka lebih penting daripada pelajaran, kerana mereka tidak pernah berfikir bahawa pelajaran itu adalah jalan ke arah mencari wang dan mencipta pekerjaan. 

Sampai bilakah isu pelarian ini akan selesai? Isu ini tidak akan selesai selagi Mindanao tidak aman dan Manila menjadi musuh kepada MILF. Diplomasi ketenteraan Malaysia dan Filipina merupakan langkah terbaik ke arah mencari jalan jernih untuk menyelesaikan isu yang sudah puluhan tahun berlarutan. 

Kejayaan menangani isu Mindanao amat diharapkan kerana ia akan dapat menyelesaikan banyak permasalahan. Masalah pendatang, masalah pelanunan, masalah penyeludupan, sudah pasti dapat dibendung. 


* Penulis merupakan bekas Timbalan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Kementerian Pertahanan, Brig Jen (B) Datuk Mohd Said Sungib

No comments:

Post a Comment