Wednesday, October 13, 2010

Kunci pedal bas setakat 90km/j untuk kawal had laju – Ali Rustam



Najib Tun Razak sebelum mempengerusikan mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. Turut sama, Muhyiddin Yassin dan Mohd. Sidek Hassan (dua dari kanan). – BERNAMA



PUTRAJAYA 12 Okt. – Kerajaan negeri Melaka mencadangkan supaya semua bas ekspres dan bas pelancongan diwajibkan mengunci mekanisme pedal minyak bagi mengawal had kelajuan.
Mengambil iktibar dari nahas mengorbankan 12 orang di Kilometer 223 Lebuh Raya Utara-Selatan Ahad lepas, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, pada masa sama pihaknya mencadangkan agar laluan kereta api yang ketika ini mengikut jajaran lama, turut dihubungkan ke setiap ibu negeri.
Ia bagi mengelakkan kebanjiran kenderaan di jalan raya.
Perkara itu dibangkitkan oleh beliau pada Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-110 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Bangunan Perdana Putra di sini pagi ini.
‘‘Kerajaan negeri Melaka minta Kerajaan Pusat wajibkan supaya bas ekspres dipasang pedal yang hanya boleh memecut semaksimum 90 kilometer sejam (km/j) sahaja.
‘‘Juga, kita harapkan supaya diperkenal dan dibina laluan keretapi laju atau perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) Kedua yang menghubungkan ke setiap ibu negeri. Jika dilihat laluan sedia ada ke Melaka, ia melalui setakat Pulau Sebang iaitu sempadan Tampin-Melaka sedangkan ramai orang mahu (melancong) ke bandar Melaka menyebabkan mereka terpaksa naik kereta atau bas.
‘‘Saya telah timbulkan dua perkara ini dalam mesyuarat dan nampaknya Perdana Menteri ambil perhatian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang bermula pukul 10 pagi itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.
Pada 10 Oktober lalu, seramai 12 orang terbunuh manakala 40 lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah bas, tiga buah kereta dan sebuah van di Kilometer 223 Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan Plaza Tol Simpang Ampat dekat Rembau.
Nahas pada pukul 6.50 petang itu berlaku apabila sebuah bas Ekspres Delima yang dipercayai dipandu laju dari arah selatan gagal dikawal lalu terbabas dan melanggar pembahagi lebuh raya sebelum melambung ke laluan bertentangan.
Cadangan supaya semua bas ekspres dipasang dengan alat mengehadkan kelajuan pernah dibangkitkan dua tahun lalu ketika banyak berlaku kemalangan membabitkan kenderaan tersebut.
Namun, keberkesanan dan kesesuaiannya masih dikaji kerana ia dikatakan melibatkan kos pada pihak industri pengangkutan malah pandangan industri pengangkutan juga perlu diperoleh sebelum sebarang dasar diambil.
Kaedah-kaedah motor (Had Laju) 1989 memperuntukkan bahawa kelajuan maksimum untuk bas ekspres dan bas pelancongan adalah 90 km/j di lebuh raya dan 80 km/j di jalan-jalan biasa.
Dalam pada itu, Mohd. Ali berkata, Perdana Menteri pada mesyuarat itu telah menjelaskan tentang perkembangan ekonomi dunia terutama di Amerika Syarikat yang menyusut.
‘‘Perdana Menteri menerangkan kesan dari perkembangan ekonomi global ini terhadap Malaysia serta kepentingan pelaburan domestik.
‘‘Dalam hal ini, ada kalangan kerajaan negeri meminta supaya lebih banyak insentif diberikan kepada pelabur tempatan dan pada masa sama Perdana Menteri mahukan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam melaksanakan program dan projek dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10),” kata beliau.

No comments:

Post a Comment