Wednesday, October 13, 2010

PR gesa tarik balik penswastaan dua kem



KUALA LUMPUR – Pakatan Rakyat (PR) menggesa Kerajaan menarik balik proses penswastaan dua buah kem tentera di Kem Kantomen di Jalan Ipoh dan Pangkalan Udara Sungai Besi yang didakwa boleh menggadaikan jaringan keselamatan dan kedaulatan negara. 

Menurut Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua, pengkalan udara berkenaan telah dilengkapi sistem pertahanan canggih bawah tanah (MADGE) dan sistem radar yang canggih. 

“Jika pemindahan berlaku akan menyebabkan kerajaan menanggung kos tinggi dan menjadi beban kepada rakyat. 

“Ia amat penting bagi mengawal jaringan keselamatan ibu negara,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen semalam. 

Ahli Parlimen Batu itu juga mempersoalkan tindakan kerajaan tidak mendedahkan nilai harga yang dijadualkan kepada Lembaga Angkatan Tentera (LTAT) dan 1Malaysia Development Berhad. 

“Ini boleh menimbulkan keraguan adakah kerajaan menjual pangkalan tersebut lebih rendah daripada harga pasaran,” katanya. 

Tian Chua berkata, kerajaan juga tidak pernah menyatakan secara terbuka penswastaan tersebut namun proses itu berlaku secara dalaman dengan kedua-dua syarikat tersebut. 

Terdahulu di persidangan Dewan Rakyat, beliau mengutarakan soalan berhubung siapa pembeli kedua-dua kem tersebut dan kenapa kerajaan tidak menjualnya secara tender terbuka selain bertanya mengenai keluasan kawasan serta nilai harga yang ditawarkan. 

Menteri dalam jawapannya bagaimanapun tidak menjelaskan berhubung nilai harga yang diberikan kepada dua syarikat tersebut. 

Sehubungan itu, Tian mendesak kerajaan menarik balik cadangan penswastaan tersebut sebelum satu kertas putih dibentangkan. 

Pada sidang media yang sama, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar pula menuntut satu kertas putih dibentangkan di Dewan Rakyat berhubung penswastaan kedua aset itu. 

Ianya kerana timbul keraguan berhubung nilai harga yang dijual kepada LTAT dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

No comments:

Post a Comment