KUALA LUMPUR 12 Okt. - Hasrat Anggota Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak kesampaian apabila beliau gagal memperoleh pencalonan minimum untuk membolehkannya bertanding.
Nurul Izzah, yang ayahnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ibunya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail masing-masing merupakan Penasihat dan Presiden PKR, hanya memperoleh satu pencalonan iaitu dari cabang Keningau, Sabah.
Perkara ini disahkan sendiri oleh Anggota Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR, Wong Hoy Cheong ketika dihubungi Bernama.
"Setiap calon bertanding dimestikan memperoleh sekurang-kurangnya dua pencalonan daripada setiap cabang dan beliau (Nurul Izzah) hanya menerima satu pencalonan dari Keningau," katanya.
Cabang Lembah Pantai telah mencalonkan bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim bagi jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti yang bermula hujung bulan ini.
Sebelum ini, Zaid mengumumkan beliau sedia menarik diri dan memberi sokongan penuh jika Nurul Izzah bertanding jawatan nombor dua parti itu.
Perebutan jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan PKR dijangka melibatkan beberapa calon, antaranya Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, dua naib presiden PKR, Mustafa Kamil Ayub dan Mohamed Azmin Ali, serta Zaid.
PKR menetapkan 10 Oktober lalu sebagai tarikh akhir bagi pencalonan.
Pemilihan bagi jawatan tinggi parti akan diadakan dari 31 Okt hingga 21 Nov ini manakala kongres kebangsaan parti dari 26 hingga 28 Nov.
Wong berkata berdasarkan senarai yang diperoleh ibu pejabat, tiga calon layak bertanding jawatan Presiden manakala tujuh calon layak bertanding Timbalan Presiden tetapi beliau enggan mendedahkan butirannya.
Katanya bagi jawatan Naib Presiden, 27 calon layak untuk mengisi tujuh kekosongan manakala 209 calon layak bertanding bagi mengisi 20 jawatan dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
Wong berkata senarai mereka yang layak bertanding sedang disaring sebelum nama mereka diumumkan pada Sabtu ini. - BERNAMA.
No comments:
Post a Comment