Wednesday, October 13, 2010

Usia bersara: Pendirian CUEPACS kekal


KUALA LUMPUR 12 Okt. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bertegas dengan pendiriannya meminta umur persaraan bagi bidang yang memerlukan kepakaran dan kemahiran dinaikkan kepada 60 tahun.
Presidennya, Omar Osman berkata, pihaknya telah menjalankan kajian dan rujukan di kalangan penjawat awam luar negara sebelum mencadangkan kepada kerajaan untuk menaikkan umur persaraan daripada 58 kepada 60 tahun.
"Umur persaraan itu merupakan satu pilihan bukan automatik kepada penjawat awam dalam bidang tertentu yang memerlukan perkhidmatan mereka lagi.
"Perkara ini dapat menguntungkan kerajaan agar tidak perlu membayar wang pencen dan bayaran gaji kontrak kepada penjawat awam yang sudah bersara," katanya ketika dihubungiUtusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau mengulas mengenai pendirian kerajaan tidak bercadang melanjutkan umur persaraan penjawat awam yang dimaklumkan pada sidang Dewan Rakyat semalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyatakan sebarang keputusan mengenai cadangan menaikkan umur persaraan perlu dikaji dengan teliti terutama mengenai kesannya dalam beberapa aspek.
Bulan lalu, Omar Osman meminta kerajaan menaikkan umur persaraan daripada 58 kepada 60 tahun bagi 1.2 juta penjawat awam supaya seragam dengan amalan negara lain di rantau ini.
Omar berkata, kenaikan tersebut juga memerlukan mekanisme seperti syarat-syarat yang diperlukan bagi menentukan seseorang penjawat awam layak meneruskan perkhidmatan.
Katanya, kenaikan tersebut perlu bagi meletakkan Malaysia setaraf dengan negara maju lain yang menetapkan persaraan umur 60 tahun dan ke atas.
Menurutnya, siswazah yang tamat pengajian tidak perlu risau mengenai ketiadaan pekerjaan disebabkan kenaikan itu.
"Perancangan teliti oleh negara bagi melahirkan modal insan dapat memastikan graduan kita mempunyai peluang pekerjaan.
"Cumanya, jika semua siswazah ingin memasuki penjawat awam, sudah tentu jawatan kosong tidak akan mencukupi," katanya.

No comments:

Post a Comment