Wednesday, October 13, 2010

Kesan tembakan dirakam



SHAH ALAM 12 Okt. - Seorang jurufoto polis memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa belasan kesan tembakan dirakam pada bahagian belakang kereta Proton Iswara yang dipandu oleh Aminulrasyid Amzah pada hari remaja berusia 15 tahun itu ditembak mati, enam bulan lalu.
Detektif Lans Koperal Ahmad Zamzami Abdul Wahab, 25, yang bertugas di Cawangan Foto Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam berkata, gambar-gambar tersebut diambil antara pukul 2 dan 6 pagi, 26 April lalu iaitu pada hari kejadian.
''Antara gambar kesan tembakan yang saya rakam pada belakang kereta ialah bawah but sebelah kiri, ekzos, tempat letak barang bahagian luar kereta, lampu isyarat sebelah kanan, rim tayar belakang sebelah kanan, plat nombor pendaftaran dan bawah tangki minyak,'' katanya.
Beliau yang merupakan saksi pendakwa kedua berkata demikian semasa memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan kes Aminulrasyid yang ditembak mati semasa dikejar oleh sebuah kereta peronda polis.
Dalam kes ini, Koperal Jenain Subi, 48, dari Unit Kereta Peronda, IPD Shah Alam didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian, Seksyen 11 di sini antara pukul 1.10 dan 2 pagi, 26 April lalu.
Jenain dibicarakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Menurut Ahmad Zamzami, dia juga merakamkan foto sebilah parang yang terletak di bahagian bawah tempat duduk penumpang hadapan kereta Proton Iswara itu.
''Selepas anggota forensik selesai membuat tandaan, saya diarah oleh pegawai penyiasat, ASP (Asisten Supritendan) Ahmad Fauzi Mohamed Zin untuk merakamkan gambar di tempat kejadian.
''Antara gambar yang diambil dengan menggunakan kamera digital itu ialah gambar jalan, pokok yang dilanggar, keadaan dalam kereta, kelongsong peluru dan mangsa. Sebanyak 41 keping gambar dirakamkan,'' katanya lagi.
Seorang lagi jurufoto polis, Detektif Koperal Mokhtar Hussin , 50, dari Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pula memberitahu, sebanyak 19 gambar kelongsong dan anak peluru (peluru yang telah digunakan) dirakam di sepanjang jalan antara Bulatan Kayangan dan tempat kejadian.
Menurut saksi, sebutir peluru dirakam pada 26 April manakala satu lagi gambar anak peluru dan 17 kelongsong peluru diambil semasa kunjungan kali kedua ke tempat kejadian pada pukul 11 pagi dan 3 petang, 28 April lalu.
''Pada 26 April, saya rakam 43 keping gambar tempat kejadian secara keseluruhan termasuk sebatang pokok yang dilanggar, kereta, kesan tembakan dan mangsa.
''Pada 28 April, saya diarah mengambil gambar tempat kejadian pada waktu siang. Pada hari tersebut, sebanyak 66 keping gambar dirakamkan,'' jelasnya.
Sementara itu, saksi pendakwa pertama, Lans Koperal Mohd. Sabri Salleh berkata, dia terdengar hebahan melalui alat berfrekuensi tinggi (VHF) meminta bantuan untuk mengesan sebuah kereta Proton Iswara berwarna putih pada pukul 1.45 pagi, 26 April lalu.
Dia yang bertugas di Bilik Gerakan IPD Shah Alam pada hari kejadian berkata, hebahan daripada kereta peronda SL589 itu meminta kereta peronda lain bagi mengesan Proton Iswara dengan nombor pendaftaran BET 5023 kerana enggan mematuhi arahan berhenti.
''Kemudian saya dengar satu isyarat panggilan daripada SL614 mengatakan nampak kereta yang dimaksudkan melalui Hotel Concorde menuju ke Bulatan Kayangan dan berpatah balik. Selepas itu saya tidak dengar apa-apa lagi.
''Selepas terputus hubungan, saya hubungi Jenain yang berada dalam SL614 melalui telefon bimbitnya. Dia memberitahu kereta itu terbabas di tepi Jalan Mak Yong Seksyen 11 dan meminta saya menghubungi ambulans,'' katanya.
Turut memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan ialah seorang lagi jurufoto polis, Koperal Saifulizam Abdul Hamid; Penyelia Stor Barang Kes IPD Shah Alam, Sarjan Mohd. Hamidi Mohd. Yatim; dan Koperal Jamaludin Bashir dari Cawangan Persenjataan IPD yang sama.
Pasukan pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Dusuki Mokhtar manakala Jenain diwakili peguam Salim Bashir dan M. Athimulan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Latifah Mohd. Tahar bersambung esok.

No comments:

Post a Comment