Wednesday, October 13, 2010

Tawaran Israel dianggap hanya berhelah sabotaj


BAITULMAQDIS 12 Okt. - Tawaran Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk membekukan pembinaan penempatan haram Yahudi jika Palestin mengiktiraf Israel sebagai negara Yahudi dilihat oleh banyak pihak hari ini sebagai helah untuk mensabotaj proses damai tajaan Amerika Syarikat (AS).
Netanyahu menetapkan pengiktirafan Israel sebagai sebuah negara Yahudi sebagai syarat beliau untuk menyambung semula pembekuan ke atas kegiatan pembinaan di Tebing Barat, semalam.
Pelanjutan pembekuan itu dilihat sebagai kunci untuk menyelamatkan rundingan damai langsung yang dilancarkan semula di White House, bulan lepas.
Namun, tawaran itu ditolak mentah-mentah oleh Palestin yang menyifatkannya sebagai 'tidak ada kena-mengena dengan proses damai' dan turut dikecam hebat oleh ahli politik Israel dan pengulas sebagai helah politik untuk mensabotaj rundingan tersebut.
Cadangan Netanyahu itu tidak lebih daripada 'helah untuk mengalihkan perhatian' bagi meredakan krisis disebabkan berakhirnya tempoh pembekuan pada 26 September lalu, menurut lidah pengarang akhbar berhaluan kiri, Haaretz.
Akhbar terkemuka, Yediot Aharonot berkata, ucapan Netanyahu itu secara tersirat menunjukkan beliau 'akan melakukan apa sahaja untuk menggagalkan rundingan dengan Palestin pada peringkatnya sekarang'.
Netanyahu enggan melanjutkan tempoh pembekuan itu sekalipun menghadapi tekanan hebat daripada Washington, manakala Presiden Palestin, Mahmud Abbas enggan kembali ke meja rundingan selagi aktiviti pembinaan diteruskan.
"Jika pucuk pimpinan Palestin dengan jelas memberitahu rakyatnya bahawa ia mengiktiraf Israel sebagai negara Yahudi, saya bersedia untuk mengadakan mesyuarat Kabinet dan meminta pembekuan ke atas aktiviti pembinaan disambung semula," kata Netanyahu semalam.
Palestin secara rasmi mengiktiraf Israel menjelang Perjanjian Oslo 1993 tetapi menolak tuntutan untuk mengiktirafnya sebagai negara Yahudi kerana ini bermakna melepaskan hak pelarian perang Arab-Israel 1948 untuk pulang ke kampung halaman mereka yang kini Israel. - AFP

No comments:

Post a Comment