KUCHING 21 Nov. - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan rombongannya yang dalam perjalanan menyampaikan bantuan kepada sebuah keluarga miskin di Kampung Gersik di sini petang ini dikejutkan dengan kejadian titi runtuh.
Namun dalam kejadian itu, Hishammuddin berjaya diselamatkan oleh pegawai Unit Tindakan Khas (UTK) yang mengiringi beliau.
Sementara itu, Pegawai Khas kepada Hishammuddin, Datuk Pirdaus Ismail terjatuh ke dalam paya sebelum diselamatkan oleh anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) yang mengiringi rombongan berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, Hishammuddin baru selesai menghadiri majlis penutupan Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Dalam Negeri di Kampung Boyan sebelum melawat serta menyampaikan bantuan keperluan harian kepada warga miskin, Maimunah Akib, 68 di Kampung Gersik.
Bagaimanapun, ketika sedang dalam perjalanan pulang, titi kayu yang dilalui rombongan itu yang turut disertai Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Sarawak, Datuk Seri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar runtuh.
Namun, tidak ada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku dalam kejadian yang hanya membabitkan Hishammuddin dan Pirdaus itu.
Pirdaus yang ditemui selepas itu berkata, anggota Rela akan membantu membaik pulih empat buah rumah daif termasuk titi kayu yang telah uzur di Kampung Gersik dalam tempoh terdekat.
Katanya, peruntukan RM10,000 bagi setiap rumah akan dikeluarkan oleh Giatmara dan kerja-kerja membaik pulih akan dilakukan oleh secara bergotong royong oleh anggota Rela.
''Kita membantu membaik pulih rumah daif ini untuk menunjukkan peranan Rela juga boleh diperluaskan untuk melaksanakan tugas-tugas lain," katanya.
No comments:
Post a Comment