Monday, November 22, 2010

Ikan sungai kian pupus



Oleh Kandau Sidi
kandau@bharian.com.my
2010/11/22

Perbuatan menuba guna renjatan elektrik di perairan Ulu Baram perlu dibanteras 

MIRI: Renjatan elektrik yang dihasilkan bateri 12 voltan dikenal pasti punca kemusnahan hidupan akuatik di kebanyakan sungai di Ulu Baram, utara Sarawak.
Peralatan yang diharamkan itu mula diperkenalkan oleh warga negara asing yang bekerja di kem pembalakan, kuari dan ladang kelapa sawit di kawasan berkenaan.
Selepas itu kaedah sama menjadi ikutan penduduk tempatan, sekali gus menyebabkan kemusnahan serius terhadap hidupan sungai di kawasan Ulu Baram. 

Ikan semah, sebarau, tengas, kelah, labi-labi, haruan, tegalan dan pelbagai jenis spesies hidupan akuatik lain antara yang sering jadi sasaran. 

Seorang penduduk di Baram yang hanya mahu dikenali sebagai Balan berkata, sebelum ini penggunaan bom ‘kuari’ agak popular bagi menangkap ikan di Baram, tetapi sekarang mereka bertukar kepada penggunaan renjatan elektrik menggunakan bateri berkuasa 12 voltan. 

Katanya, ia disebabkan bom yang dipercayai dibekalkan pekerja batu kuari sukar diperoleh dan penggunaannya amat berbahaya, berbanding renjatan elektrik. 
“Sekarang kaedah menangkap ikan menggunakan bateri 12 voltan amat popular di ulu Baram dan menjadi antara pemusnah utama ekosistem sungai di situ. 

“Ikan boleh ditangkap dengan mudah dalam tempoh masa singkat menggunakan renjatan elektrik,” katanya kepada Berita Harian. 

Semua hidupan sungai sama ada besar atau kecil yang terkena renjatan elektrik akan mati, sekali gus memudahkan ia dikutip menggunakan jaring,” katanya kepada Berita Harian. 

Ciptaan peralatan renjatan elektrik menggunakan bateri 12 voltan yang diperkenalkan warga asing itu amat ringkas. 

Mereka cuma memerlukan bateri kenderaan atau motosikal 12 voltan, gelungan wayar elektrik, kayu, jaring dan komponen elektrik. 

Komponen elektrik utama itu berfungsi menjanakan kuasa elektrik daripada bateri 12 voltan sehingga mencapai kekuatan 200 voltan. 

Difahamkan ada warga asing begitu berani menawarkan khidmat mencipta dan menjual peralatan itu dengan harga sekitar RM300 hingga RM500 seunit kepada penduduk tempatan yang berminat membelinya. 

Balan yang bimbang dengan kemusnahan ekosistem sungai di Baram berikutan penggunaan alat itu mahu tindakan tegas diambil bagi menangani masalah berkenaan.

No comments:

Post a Comment