Monday, November 22, 2010

Siasat pondok kuning




KOTA BHARU - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) sedang melakukan siasatan terperinci mengenai dakwaan penduduk sekitar mengenai kewujudan sebuah pondok berwarna kuning di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kajang Sebidang, Tumpat.

Berdasarkan dakwaan ia dijadikan tempat pemujaan, Ketua Penolong Pengarah Penguat Kuasanya, Mohd Ab Aziz Mohd Nor, berkata, pihaknya kini sedang menunggu arahan selanjutnya daripada pihak pendakwaan sebelum sebarang tindakan dapat diambil. 

“Walaupun masih tiada arahan daripada pihak pendakwaan, secara tidak langsung kita telah mengarahkan Pejabat Agama Islam Daerah Tumpat untuk melakukan siasatan mengenai perkara tersebut. 

“Kita sedang membuat pemantauan serius mengenai perkara itu dan sedang mengumpulkan maklumat yang lengkap sebelum sebarang tindakan dapat diambil,” katanya. 

Menurutnya, jika terdapat bukti mengenai wujudnya aktiviti tidak sihat seperti yang didakwa, pihaknya tidak akan teragak-agak merobohkan binaan pada kubur tersebut serta mengenakan tindakan kepada sesiapa yang terlibat. 

“Sekiranya pihak kami mendapat bukti mengenai wujudnya aktiviti pemujaan, bukan sahaja bomoh atau pawang tetapi pengunjung yang datang untuk melakukan aktiviti tersebut turut akan ditahan dan dikenakan tindakan undang-undang. 

“Mereka akan dikenakan tindakan di bawah Enakmen Majlis Agama Islam Bilangan 4 1994, Seksyen 127 kerana melakukan aktiviti pemujaan dan boleh didenda RM4,000 atau dipenjara selama dua tahun,” katanya. 

Semalam, tanah perkuburan tersebut bagaimanapun didapati tiada sebarang pengunjung dan binaan seperti pondok beratap nipah, pagar, lantai jubin dan payung masih terdapat pada kubur tersebut.

No comments:

Post a Comment