Monday, November 22, 2010

Jalan berlubang



Oleh Togi Marzuki 
bhnews@bharian.com.my
2010/11/22

Laluan 4km rosak teruk sukarkan penduduk pasar hasil tani 

PONTIAN: Kira-kira 100 pekebun di Jalan G.S.A. 3 Parit Mohayat Mukim Ayer Baloi, dekat sini, dihimpit keresahan kerana jalan sejauh empat kilometer yang menjadi laluan penting mengangkut hasil pertanian rosak teruk menyebabkan mereka terpaksa menanggung kerugian besar akibat kelewatan memasarkan produk masing-masing.
Jalan yang difahamkan dibina lima tahun lalu kini berlubang dan tidak rata. Lebih memeritkan mereka terpaksa membiayai sendiri kos membaiki jalan bagi memudahkan aktiviti harian mengeluarkan hasil pertanian dan kerja lain yang berkaitan.
Mereka mendakwa, jika jalan berkenaan tidak diperbaiki segera, ia akan menjejaskan pendapatan petani untuk menyara keluarga kerana kawasan berkenaan dipenuhi pelbagai tanaman seperti kelapa sawit, nanas, jagung dan sayur-sayuran. 

Pekebun, Arifin Othman,70, berkata, beliau mengalami kerugian kerana hasil tanamannya khususnya kelapa sawit tidak dapat dijual sepenuhnya akibat kegagalan kenderaan pengangkut sawit untuk memasuki jalan berkenaan. 

Katanya, keadaan jalan yang rosak itu menyebabkan kenderaan sama ada pengangkut kelapa sawit atau pelbagai hasil pertanian terbenam dan terkandas khususnya apabila musim hujan sekali gus menggagalkan pelbagai hasil pertanian untuk dipasarkan. 

“Akibat kejadian itu, semua petani mengeluh dan resah kerana hasil tani yang diharapkan sebagai mata pencarian untuk menyara keluarga terjejas dan tidak dapat menjalankan aktiviti pertanian seperti yang diharapkan,” katanya. 
Sehubungan itu, Ketua UMNO Cawangan Parit Mohayat, Samid Sipin, 56, berkata, beliau berharap keluhan pekebun di kawasan berkenaan didengar. 
Beliau berkata, pelbagai usaha dibuat, khususnya memperbaiki dan menampal lopak jalan dengan batu kasar yang dibiayai secara berkongsi dengan pekebun lain. 

“Namun, usaha itu tidak membuahkan hasil apabila hujan, air akan bertakung di sana-sini manakala tambakan batu kasar yang diharapkan memberi keselesaan akan rosak dan tidak dapat menampung berat lori yang melaluinya. 

“Kita tidak boleh menyalahkan apa jua jenis kenderaan besar atau kecil yang mengangkut hasil tani, hanya cara itu saja hasil dapat dikeluarkan melalui jalan berkenaan untuk dipasarkan. 

“Kami minta jasa baik pihak yang berkenaan agar jalan yang menjadi laluan utama khususnya untuk mengeluarkan hasil pertanian diperbaiki dan dibaik pulih supaya para pekebun dapat menjalankan aktiviti mereka dengan selesa dan mengeluarkan hasil melalui jalan berkenaan,” katanya. 

Ketua Kampung Parit Baru Kawasan 6, Mukim Ayer Baloi, Mohamad Samingon, 58, pula berkata, akibat masalah berkenaan pelbagai hasil tani tidak dapat dipasarkan kerana ada kalanya kenderaan pengangkut hasil tani enggan memasuki jalan berkenaan dibimbangi kenderaan terbenam dan terkandas. 

“Saya sangat simpati kepada pekebun dan petani yang terbabit, khususnya yang semata-semata bergantung hidup melalui hasil pertanian menyara keluarga. 

“Walaupun pekebun yang terbabit pernah berusaha dengan pembiayaan secara berkongsi untuk membaiki sendiri jalan yang rosak itu, namun jalan itu tidak bertahan lama dan memerlukan modal yang begitu besar,” katanya.

No comments:

Post a Comment