Monday, November 22, 2010

Polis ambil keterangan keluarga tiga lelaki ditembak selepas rompakan

KUALA LUMPUR: Polis akan mengambil keterangan ahli keluarga dua daripada tiga lelaki yang mati ditembak selepas disyaki selesai merompak sebuah stesen minyak di Glenmarie, Shah Alam, 13 Nov lalulepas.
Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk A Thaiveegam berkata, proses mengambil keterangan termasuk merakam percakapan ini adalah prosedur biasa bagi mana-mana laporan polis yang dibuat termasuk oleh keluarga mangsa.

"Mereka berhak membuat laporan polis dan kita akan mengambil tindakan menggunakan prosedur.

"Kertas siasatan akan dibuka dan selepas itu kita akan merakam percakapan mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan motosikal ''First Response By Motobike In Hot Spot" kontinjen Selangor di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini hari ini.

Dua hari lalu, ahli keluarga dua suspek membuat laporan polis di IPD Petaling Jaya yang antara lain menuntut supaya kerajaan dan Polis Diraja Malaysia membuat permohonan maaf kepada keluarga mangsa.

Dalam laporan itu, mereka meragui tindakan polis menembak mati remaja terbabit kerana mahu mempertahankan diri dan meminta kes itu disiasat.

Dalam kejadian itu, tiga penjenayah dipercayai anggota "Geng Minyak" ditembak mati di Jalan Kerjaya, Glenmarie, Shah Alam, selepas selesai merompak sebuah stesen minyak di Jalan U1/1.

Thaiveegam memberi jaminan siasatan terperinci akan dijalankan.

Terdahulu di majlis itu beliau mengagihkan 89 motosikal untuk kegunaan 10 balai polis di kawasan tumpuan utama di Selangor.-Bernama

No comments:

Post a Comment