Monday, November 22, 2010

Macam rumah setinggan



Oleh Nasir Abd Wahab
anasir@bharian.com.my
2010/11/22

80 keluarga tentera Pangsapuri Taman Taming Sari 2 hadapi krisis air serius 

SUNGAI UDANG: Kehidupan 80 keluarga tentera yang mendiami Pangsapuri Taman Taming Sari 2 di Blok 2, sudah tidak sama seperti dulu kerana mereka kini hidup dalam kesukaran, gara-gara berdepan krisis air serius yang sudah berlarutan kira-kira dua bulan.
Masalahnya berpunca daripada pam air utama yang sudah rosak tetapi sehingga kini tidak diperbaiki pihak terbabit. Bagi mendapatkan kemudahan asas dan penting itu, mereka kini terpaksa mengangkut sendiri air dari tingkat bawah, selain berkongsi membeli pam kecil.
Sudah banyak kali aduan dibuat, tetapi sehingga ini ia amat mendukacitakan kerana seolah-olah tidak dipedulikan apabila tiada sebarang maklum balas diterima. 

Tinjauan Berita Harian ke kawasan kediaman ini, susulan menerima aduan mendapati masalah ketiadaan air di semua unit pangsapuri skim Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) itu adalah serius dan perlu diatasi segera. 

Kerosakan pam utama itu menyebabkan bekalan air tidak dapat dipam terus ke rumah penghuni, sekali gus memaksa mereka mencari jalan dengan menggunakan berpuluh pam kecil dibeli secara berkongsi untuk menyedut air ke tangki plastik yang diletak sementara di setiap aras sebelum dialirkan ke kediaman masing-masing. 

Semua unit kediaman bermula di aras satu hingga empat dikesan memasang salur getah dari beberapa tangki plastik yang ditempatkan sementara, sebelum airnya disalurkan ke setiap rumah. 
Pemasangan salur paip itu menyebabkan kawasan lantai koridor dan tangga pangsapuri berkenaan sentiasa basah dan dipenuhi air yang melimpah, sekali gus mendatangkan bahaya kepada penghuninya. 

Penduduk, Mohd Sofi Hasim, 26, mengakui masalah kerosakan pam utama itu menjejaskan rutin harian keluarga di pangsapuri berkenaan membabitkan anggota tentera di Kem Terendak, di sini. 

"Dulu, sebelum berkongsi membeli pam kecil ini, kami terpaksa pulang ketika rehat tengahari untuk membantu isteri mengangkut air menggunakan baldi. Perkara sama terpaksa dilakukan selepas pam kecil itu dipasang. 

"Saluran getah yang berselirat di semua aras menyebabkan air membasahi lantai dan dinding. Keadaan ini perlu diawasi supaya kemungkinan penghuni terkena renjatan elektrik dapat dielak ketika mengangkut air," katanya. 

Mohd Sofi berkata, aduan kerosakan pam itu sudah dimaklumkan kepada bahagian logistik di Kem Terendak, tetapi kerja pembaikan yang dilakukan bersifat sementara dan gagal menyelesaikan masalah. 

Mohd Khairul Mustafa, 29, pula berkata, beliau bersama isteri dan anaknya sudah tiga tahun mengalami kesulitan bekalan air berpunca daripada kegagalan pihak penyelenggaraan melakukan pembaikan pam utama itu. 

Katanya, masalah penduduk itu sudah diketahui pegawai pemerintah Tentera Darat di Kem Terendak yang membenarkan mereka meminjam sementara hos bomba dari kem untuk mengepam air daripada tangki besar di bawah pangsapuri berkenaan. 

"Kami terpaksa meminta bantuan beberapa rakan daripada kor jurutera untuk memasang sistem paip yang mirip rumah setinggan selepas tidak tahan mengangkut air menggunakan baldi," katanya. 

Seorang lagi penduduk, Izzat Abdullah, 29, berkata, hos bomba yang dipinjam dari kem itu terpaksa dipulangkan semula Isnin ini selepas terlalu lama digunakan di situ. 

"Selepas hos bomba itu dipulangkan semula, kami tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan bekalan air, malah pemeriksaan juga mendapati struktur tangki di atas bumbung pangsapuri ini sudah disahkan retak dan tidak selamat digunakan untuk menakung air," katanya.

No comments:

Post a Comment