Monday, November 22, 2010

Roboh gerai tidak patut berlaku





KUALA LUMPUR 21 Nov. – Tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merobohkan sebuah gerai di Desa Pandan di sini yang didakwa tanpa sebarang notis sangat dikesali.
Malah, Pengerusi Sekretariat Peniaga dan Penjaja Kecil Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mustapa Kamal Mohd. Yusof (gambar) menyifatkan tindakan itu sebagai tidak sepatutnya berlaku.
Menurutnya, perkara itu seharusnya dibawa ke pengetahuan semua pihak yang berkaitan terlebih untuk dibincangkan sebelum sebarang tindakan diambil.
“Ini tidak... saya diberitahu, tanpa sebarang perundingan, tiba-tiba dirobohkan, sudah tentu ia akan menyusahkan peniaga itu yang hanya bergantung hidup dengan perniagaannya.
“Kita sudah banyak kali berpesan supaya jangan merobohkan mana-mana gerai sesuka hati sebelum diadakan sebarang perbincangan.
“Saya sangat kecewa apabila mengetahuinya, kerana sepatutnya perkara seperti ini boleh dibawa berunding,” katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau mengulas tindakan pihak berkuasa tempatan itu merobohkan sebuah gerai milik Md. Isa Kasmuri tanpa notis dan tanpa kehadiran pemiliknya baru-baru ini.
Dia yang sudah lebih 15 tahun berniaga di situ dikatakan melanggar had ukuran yang ditetapkan oleh DBKL sebanyak 12 kaki sahaja tetapi seluruh gerainya dirobohkan.
Mustapa Kamal yang juga Ahli Lembaga Penasihat Bandar Raya Kuala Lumpur berkata, dalam kes seperti itu, penyerahan notis sangat penting supaya peniaga tahu tindakan akan diambil dan boleh membuat persiapan sewajarnya.
Katanya, apabila tindakan roboh sudah dilakukan, peniaga tersebut sudah tentu mengalami kepayahan dan terpaksa menanggung kerugian yang tinggi.
“Kita akan meneliti mengapa perkara ini terjadi kerana sudah banyak kali diingatkan supaya jangan robohkan gerai tanpa melalui berbincang terlebih dahulu,” katanya.

No comments:

Post a Comment