Wednesday, December 15, 2010
Juruterbang maut helikopter terhempas
MALIM NAWAR – Seorang juruterbang yang sedang dalam kursus melakukan penerbangan solo di sini maut ketika menjalani latihan dalam kejadian di kawasan Estet Liang Kee, Malim Nawar jam 3.08 petang semalam.
Mangsa, Allahyarham Inspektor Mohd Shukri Othman, 31, dari 1540 Permatang Tok Gelam, Seberang Prai, Pulau Pinang maut ketika menjalani latihan di Integrated Training and Services Ipoh.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof berkata, semasa kejadian, lapan anggota dihantar Polis Diraja Malaysia sedang menjalani latihan penerbangan di Ipoh.
“Pada jam 2.15 petang tadi, pegawai kita melakukan penerbangan solo dengan sebuah helikopter jenis R44 dan berada di udara selama 15 minit.
“Kira-kira jam 3.00 petang, helikopter yang dinaiki mangsa telah mengalami masalah dan mangsa maut dalam kejadian tersebut,” katanya.
Mangsa yang sudah berkahwin meninggalkan seorang balu dan seorang anak berusia setahun dan ini merupakan penerbangan solo kelima mangsa.
Sinar Harian difahamkan, ketika latihan berkenaan dijalankan, mangsa adalah peserta pertama yang berlepas dari pusat latihan di Intergrated Training and Service Center, Ipoh dan menjalani latihan di ruang udara Gopeng – Kampar.
Katanya, arwah telah berkhidmat sebagai pegawai polis biasa sebelum berada di Unit Udara Polis selama enam tahun.
Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh.
Sementara itu, rakan mangsa, Inspektor Md Nurkhail Md Zaini, 29 berkata, arwah merupakan senior yang baik dan mempunyai seorang balu dan seorang anak berusia setahun.
“Arwah tidak menunjukkan sebarang kelakuan ganjil sebelum penerbangan.
“Sepatutnya, masa latihan adalah selama satu jam dan Mohd Shukri perlu sampai semula ke pusat di lapangan terbang jam 3.15 petang namun apabila dihubungi selepas jam itu, tiada jawapan diterima,” katanya yang dimaklumkan tentang insiden berkenaan daripada balai polis berhampiran.
Saksi pertama kejadian, Hariandi Dimun, 28, berkata, ketika kejadian, dia sedang menjala ikan di lombong berhampiran dan ternampak sebuah helikopter dari arah gunung.
“Apabila nampak helikopter itu dah rendah tetapi tidak berpusing.
Namun secara tiba-tiba, ia terhempas membuatkan saya yang ketika itu sedang menjala terkejut.
“Ketika sampai ke lokasi kejadian mangsa sudah hangus dan ada lima atau enam orang awam sedang cuba memadam api menggunakan air lombong,” katanya kepada Sinar Harian.
Selain itu, seorang pekebun, Muniandy Manugaran, 33, berkata, dia antara yang terawal sampai ke tempat kejadian.
Katanya, terdapat juga beberapa pekerja yang sedang mengangkut pasir turut berada di lokasi berdekatan terkejut dengan bunyi letupan kemungkinan dari enjin helikopter.
“Mula-mula kami semua tak berani nak dekat, dan selepas itu nampak mangsa terbakar paras pinggang sehingga kepala dan nampak kaki mangsa di bangkai helikopter,” katanya.
Labels:
terhempas
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment