Wednesday, December 15, 2010

Tak apa... Samanlah - Tun Mahathir


KUALA LUMPUR 14 Dis. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau bersedia berhadapan tindakan undang-undang daripada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malah beliau menganggap, tindakan Ketua Pembangkang itu menyaman dirinya bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana sebelum ini pun Anwar pernah melakukan perkara yang serupa.
"Tak apalah... Samanlah. Dia dah saman saya RM100 juta. Kalau dia nak saman, saya masuk jel lah. Tak apalah...," katanya ketika diminta mengulas mengenai tindakan Anwar yang mahu menyamannya ekoran kenyataan yang dikeluarkan susulan pendedahan laman web WikiLeaks terhadap kegiatan liwat Anwar.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan buku MALAYSIA, Walter Second Home, tulisan penulis Belgium, Walter Francois di sini hari ini.
Portal berita propembangkang Malaysiakini hari ini melaporkan Anwar telah memberi arahan kepada peguamnya, Sankara Nair untuk mengemukakan saman kepada Dr. Mahathir dan beberapa akhbar berikutan dakwaan salah lapor berhubung pendedahan WikiLeaks.
Sankara dilaporkan berkata, beliau telah menerima arahan itu yang berkuat kuasa hari ini namun enggan mendedahkan butirannya kerana ia masih dalam perbincangan.
Beliau turut mengesahkan bahawa saman ke atas Dr. Mahathir akan dikemukakan.
Anwar sebelum ini pernah memfailkan saman fitnah bernilai RM100 juta terhadap Dr. Mahathir pada 2006 kerana mendakwa bekas Perdana Menteri itu menuduhnya sebagai seorang homoseksual.
Bagaimanapun, tahun lepas, Mahkamah Rayuan membatalkan rayuan saman fitnah tersebut dan mengarahkan Anwar membayar kos kepada bekas Perdana Menteri itu.
Dr. Mahathir berkata, Anwar boleh menyaman sesiapa sahaja termasuk akhbar-akhbar yang melaporkan pendedahan yang dibuat oleh laman web tersebut namun tegas beliau, ia tidak akan berkesudahan.
Ini kerana, laman web seperti WikiLeaks akan terus menyiarkan apa sahaja bahan dan penyiaran pendedahan itu hanya akan mengundang masalah kepada seluruh dunia.
"Inilah dunia informasi. Sama ada anda suka atau tidak, kita tidak boleh sembunyi lagi. Di masa depan, apa sahaja yang kita fikirkan, mereka akan dapat membaca minda kita.
"Kalau anda buruk sangka kepada saya pun, saya akan tahu," ujarnya.
Terdahulu dalam ucapannya, Dr. Mahathir berkata, hasil karya penulis luar mengenai Malaysia seperti yang dilakukan Francois, 63, amat dialu-alukan kerana usaha itu mampu memberi pengetahuan, publisiti dan menjadi tarikan kepada pelancong untuk ke negara ini.
MALAYSIA, Walter Second Home merupakan sebuah buku bergambar dengan 256 halaman dan 224 foto menakjubkan yang merangkumi 13 negeri dan tiga wilayah persekutuan di Malaysia.
Dijual pada harga RM190 senaskah, ia merupakan buku keempat tulisan Francois yang telah 59 kali ke negara ini sejak kali pertama menjejakkan kaki ke Malaysia pada 1979.

No comments:

Post a Comment