Wednesday, December 15, 2010

Tolak Najib yang cuba belakangkan demokrasi


KUALA LUMPUR, 15 Dis: Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Pusat, Firdaus Jaafar (gambar) menyeru anak muda menolak ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dianggap menolak sistem demokrasi di negara ini.

Firdaus berkata, ucapan Najib dalam satu majlis Sabtu lalu bahawa tidak ada parti lain boleh memerintah sekiranya Umno/Barisan Nasional (BN) kalah dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang amat mengecewakan.

"Saya selaku pengarah pilihan raya pemuda melihat ucapan Najib ini satu ucapan membelakangi demokrasi. Seorang Perdana Menteri tidak sepatutnya bercakap begitu. Kita ada sains politik, kita ada pakar-pakar politik yang membincangkan mengenai demokrasi, dan banyak peruntukan untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan proses demokrasi berjalan di Malaysia.

"Tapi kenyataan Perdana Menteri itu mengecewakan kita seolah-olah kalau Umno kalah tak ada siapa boleh menang. Mana boleh macam itu.

"Jadi saya mengajak anak muda untuk mengambil perhatian terhadap ungkapan ini dan saya menjangkakan akan lebih dahsyat lagi keluar dari pemimpin-pemimpin Umno yang menggambarkan kepada masyarakat kampung kalau BN kalah habis semua, hancur lebur," kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen semalam.

Ahli Parlimen Jerai itu juga berkata, Umno/BN seharusnya membiarkan rakyat mengamalkan demokrasi dengan memilih kerajaan yang mereka mahukan, bukan mengeluarkan ungkapan-ungkapan sedemikian.

"Anak muda mesti melihat prinsip Pakatan Rakyat. Kita akan jaga demokrasi dalam negara ini. Ini jaminan kita. Tidak kisah siapa yang menang asalkan kita mengikut sistem demokrasi yang sebenar-benarnya.

"Kita nak mengajak rakyat bersama kita untuk memberi nafas baru dan politik baru kepada kerajaan Malaysia," katanya.

Tahniah kepada Guan Eng
Sementara itu,beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di atas pengumuman bayaran khas Maal Hijrah RM100 kepada kesemua 1,376 guru Kelas Agama Fardu Ain (KAFA) di negeri itu dan bantuan khas sekolah sebanyak RM800 kepada setiap 7,812 anggota perkhidmatan awam negeri.

Beliau berkata, tindakan Guan Eng itu membuktikan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat bersungguh-sungguh menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira kaum.

"Saya ucap tahniah kepada Lim Guan Eng yang telah memberi bantuan khas sekolah sekolah dan bantuan kepada guru KAFA.

"Ini hasil kejayaan apabila rakyat memberi mandat kepada Pakatan,maka satu persatu kebajikan telah kita tonjolkan kepada rakyat. Ini juga hasil jimat cermat Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang," katanya.

Sambil menyifatkan ianya langkah bijak Guan Eng, tambahnya, bukan sahaja di Pulau Pinang kebajikan rakyat terjamin namun di negeri Pakatan yang lain juga ianya turut berlaku.

"Ini langkah bijak dan semestinya negeri lain juga ada sesuatu yang diberikan. Kalau di Kedah, pada bulan Ramadhan Menteri Besar bagi sumbangan kepada guru Al-Quran sukarela, tok bidan sukarela. Ini juga insentif yang cuba dilakukan oleh negeri Pakatan rakyat.

"Sebab itu rakyat Malaysia mesti melihat kejayaan negeri Kelantan dan negeri-negeri lain yang telah menunjukkan kejayaan demi kekayaan walaupun tidak mendapat liputan media secara meluas.

Sehubungan itu ujarnya, selepas Konvensyen ke -2  19 Disember ini, Pakatan akan memperkukuhkan media alternatif bagi bersaing dengan media milik Umno/BN dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat.

"Kita tak dapat liputan media yang menyeluruh tapi selepas konvensyen Pakatan ini kita akan kaji semula untuk kita mencari media alternatif kepada masyarakat iaitu media Pakatan Rakyat," katanya.

No comments:

Post a Comment