Wednesday, December 15, 2010

Kerajaan takut Anwar rampas takhta

 



KUANTAN – Pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman (gambar) menyifatkan komen yang diterima mengenai pendedahan yang dikeluarkan oleh WikiLeaks menunjukkan pemerintah sebenarnya takut dengan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Katanya, jika pemerintah sudah melaksanakan tanggungjawab seperti mana yang dijanjikan, mereka tidak perlu takut Anwar ‘merampas’ takhta mereka. 

“Musuh Anwar akan gunakan apa cara sekalipun untuk menjatuhkannya. Hakikatnya, mereka sebenarnya takut akan turun takhta jika Anwar berjaya membuktikan dirinya tidak bersalah,” katanya ketika dihubungi semalam. 

Katanya, dalam hal ini, tindakan mahkamah bukanlah penentu segala-galanya kerana harapan untuk mendapatkan keadilan belum terjamin. 

“Jika Anwar mengambil tindakan mahkamah, kita sendiri tidak tahu bagaimana keputusannya nanti. Siapa yang berani menolak keputusan mahkamah, jika mahkamah sudah menentukannya, kita memang tidak dapat berbuat apa-apa. 

“Bagaimanapun, semuanya terpulang kepada Anwar. Jika dia mahu mengambil tindakan, teruskanlah. Jika tidak, itu tidak bermakna dia bersalah,” katanya. 

Dalam pada itu, Fauzi turut mengulas tentang kenyataan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang mengatakan pendedahan tersebut dilakukan kerana Singapura iri hati dengan pencapaian Malaysia. 

“Saya rasa itu adalah satu hujah bodoh serta tidak masuk akal. Tidak ada sebab Singapura mahu dengki dengan kita sedangkan negara mereka jauh lebih membangun serta ekonomi mereka juga lebih kukuh. 

“Mengapa perlu dia mengeluarkan kenyataan sedemikian sedangkan tidak ada apa yang perlu dicemburukan Singapura terhadap negara kita,” katanya.

No comments:

Post a Comment