Friday, March 11, 2011

Serbuk kayu, sisa racun

Berita Harian

Oleh Amin Ridzuan Ishak
aminridzuan@bharian.com.my
2011/03/10

HARUN menunjukkan kesan habuk kayu pada cermin tingkap di sebuah rumah  di Kampung Selamat, Tasek Gelugor.
HARUN menunjukkan kesan habuk kayu pada cermin tingkap di sebuah rumah di Kampung Selamat, Tasek Gelugor.
Pemilik kilang cemar Kampung Selamat, Taman Selasa

TASEK GELUGOR: Kira-kira 1,000 penduduk di Kampung Selamat dan Taman Selasa di sini, hidup dalam keadaan tertekan berikutan pencemaran udara yang berpunca dari kilang kayu dan racun makhluk perosak di kebun sayur di kampung itu.
Mereka mendakwa, pencemaran dari kilang kayu berhampiran yang membuang serbuk kayu secara sewenangnya-wenangnya tanpa menggunakan sistem sesuai serta kebun sayur yang menjadi lokasi pusat percubaan racun makhluk perosak oleh sebuah syarikat.
Setiap hari pekerja syarikat berkenaan akan menyembur racun ke atas sayur-sayuran di kawasan itu yang menyebabkan udara di sekitar perkampungan dan taman perumahan di situ, dipercayai dicemari bahan kimia itu.

Masalah pencemaran habuk kayu sudah menghantui penduduk sejak berpuluh tahun lalu, tetapi pencemaran akibat racun makhluk perosak bermula kira-kira setahun lalu. Penduduk bimbang pencemaran itu boleh menjejaskan kesihatan mereka dalam jangka panjang.

Penduduk pernah menyatakan hasrat untuk berbincang dengan pengusaha kilang kayu tetapi tidak dilayan.

Seorang penduduk, Harun Ahmad, 47, berkata kehidupan penduduk di kawasan itu jelas tidak selesa, malah ada dalam kalangan mereka sudah menerima kesan seperti mengalami batuk kerana terhidu udara tercemar.
Beliau berkata, anggota keluarganya mengalami gatal akibat udara tidak segar dan batuk-batuk.

"Pencemaran paling teruk adalah dari kilang kayu yang biasanya membuang serbuk ke udara pada waktu malam menyebabkan kesihatan kami terjejas, pakaian, kereta serta rumah kotor dan tumbuhan mati," katanya ketika ditemui di kampung itu.

Tinjauan Berita Harian ke kawasan itu mendapati debu memenuhi ruang udara kampung berkenaan dipercayai berpunca kilang berkenaan.

Akibatnya, penduduk terpaksa menjemur pakaian dalam rumah walaupun keadaan di luar adalah cerah kerana bimbang ia akan kotor terkena serbuk kayu. Malah, ada juga yang menutup pintu dan tingkap rumah bagi mengelak dimasuki habuk dari kilang itu.

Seorang penduduk, Umar Ismail, 51, menyatakan harapan supaya pihak berkuasa mengambil tindakan segera membantu penduduk daripada terus dihimpit masalah berkenaan.

"Dulu ada pihak berkuasa datang ke kilang kayu itu, tetapi tiada tindakan diambil. Malah, kilang itu ia terus menjalankan kegiatannya membuang serbuk kayu," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SM Mohamed Idris, berkata pihaknya menerima aduan pencemaran udara berpunca dari kawasan penanaman sayuran daripada penduduk.

"Ramai penduduk mengalami sakit kepala, batuk, selsema dan lelah kerana setiap hari menghidu bau bahan kimia dari kawasan semburan racun itu," katanya yang menggesa pihak berkuasa seperti Jabatan Kesihatan dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengambil tindakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin, ketika dihubungi, berkata beliau sedia maklum mengenai masalah itu dan pernah membangkitkannya kepada pihak berwajib.

"Sebelum ini, saya sudah meminta Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) untuk melihat masalah itu, tetapi kita lihat seperti tidak ada apa-apa pun (tindakan)," katanya sambil menambah akan membangkitkan masalah itu kepada pihak berkenaan.

No comments:

Post a Comment