Friday, March 11, 2011

Mahkamah Jakarta tolak usul Abu Bakar Bashir

Utusan Malaysia


JAKARTA 10 Mac – Mahkamah Daerah Jakarta Selatan hari ini mengarahkan perbicaraan guru agama radikal Indonesia, Abu Bakar Bashir diteruskan atas dakwaan keganasan.
Hakim Herri Swantoro berkata, panel hakim tidak dapat menerima hujah balas peguam bela Abu Bakar yang mengatakan mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa membicarakannya selain kenyataan defendan yang mendakwa perbicaraannya bermotifkan politik.
“Tiada satu pun kenyataan dalam pendakwaan menyatakan kes ini bermotifkan politik. Dakwaan ke atas defendan adalah melibatkan keganasan,” katanya.
Menurut panel hakim, mahkamah tersebut mempunyai bidang kuasa membicarakan guru radikal agama itu berdasarkan arahan Mahkamah Agung dan kelulusan mahkamah-mahkamah daerah di Tasikmalaya dan Sukoharjo.
“Kami dengan ini mengesahkan bahawa bantahan yang dibuat defendan tidak boleh diterima dan mengarahkan perbicaraan diteruskan berhubung kes ini,” kata Swantoro.
Peguam bela Abu Bakar, Achmad Michdan berkata, beliau akan mencabar keputusan mahkamah itu.
Prosiding hari ini turut menyaksikan perdebatan hangat berhubung rancangan mengadakan persidangan video atau audio secara langsung bagi membolehkan saksi memberi keterangan.
“Keterangan yang dibuat menerusi persidangan video atau audio tidak diperakui Prosedur Kod Jenayah dan Undang-Undang Antikeganasan.
“Cara itu sengaja diperkenalkan supaya saksi-saksi tidak boleh memberi keterangan secara bebas,” kata peguam yang mewakili Abu Bakar, Munarman.
Abu Bakar sebelum ini terlepas dua pendakwaan berkaitan keganasan dan kali ini menolak pembabitannya mengetuai satu sarang pengganas selepas sebuah kem latihan militan ditemui di wilayah Aceh, Februari tahun lalu. – AP/Agensi

No comments:

Post a Comment