Friday, March 11, 2011

RM200 bilion wang haram dibawa keluar

SH

KOTA SARANG SEMUT - Laporan Integriti Kewangan Global (GFI) pada 2009 yang menyatakan kira-kira RM200 bilion wang haram dibawa keluar dari negara ini menunjukkan pemimpin Kerajaan Pusat seperti Presiden Mesir, Hosni Mubarak yang melarikan diri bersama sejumlah wang yang sama ke luar negara.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, laporan itu bukan diada-adakan oleh Pakatan Rakyat (PR) sebaliknya dikeluarkan oleh GFI untuk menunjukkan jumlah wang haram yang berkemungkinan daripada hasil rasuah, pelaburan haram atau mengelak dikenakan cukai yang dikeluarkan badan itu setiap tahun.

Menurutnya, akibat kehilangan wang sebanyak itu, tidak hairan rakyat negara ini menanggung bebanan kenaikan harga barang dan harga minyak petrol.

Oleh itu katanya, pemimpin Kerajaan Pusat sedia ada patut dihukum sebagaimana pemimpin di Mesir, Tunisia, dan Libya.

“Bila kita suarakan perkara ini di dalam Parlimen, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri malahan Bank Negara Malaysia (BNM) sendiri pun menafikannya dengan memberi pelbagai alasan retorik.

“Saya masih yakin wang negara ini masih banyak sekiranya tidak ‘dirompak’ oleh segelintir pemimpin yang tidak bertanggungjawab dan sekiranya PR berjaya memenangi pilihan raya umum akan datang, saya berjanji akan mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Sekuriti, Bahagian Jenayah Komersial dan agensi berkaitan menyiasat pihak mana bertanggungjawab membawa keluar wang haram itu,” katanya sewaktu menyampaikan ceramah di Kompleks Pas di sini semalam.

Anwar berkata, tindakan berat akan diambil terhadap mereka yang dikenal pasti ‘merompak’ harta negara kerana mana-mana individu terlibat boleh dianggap pengkhianat bangsa dan negara.

Menurutnya, punca kegagalan kerajaan dan institusi kewangan sesuatu negara bukanlah disebabkan faktor dimonopoli sesuatu kaum sebagaimana didakwa di negara ini, sebaliknya berpunca daripada tamak haloba seseorang pemimpin.

“Dalam kepimpinan, apa yang penting adalah soal akhlak kerana pemimpin terpelihara peribadinya adalah elemen penting dalam membentuk kerajaan mampan dan ‘good governance’.

“Di negara ini, UMNO dan BN sering melaung-laungkan mereka sebagai parti yang membela hak Melayu. Tetapi adakah semua orang Melayu di negara yang dijaga? Tidak. Sebaliknya hanya orang Melayu yang mempunyai hubungan dengan pemimpin UMNO sahaja yang menerima manfaatnya,” katanya.

No comments:

Post a Comment