2011/03/11
PADERI Gereja Congregational Bethany, Mark Lukens memegang sepanduk ketika menyertai perhimpunan ‘Today, I Am A Muslim, Too’ di New York sebagai reaksi kepada rancangan King.
WASHINGTON: Pemimpin Islam Amerika Syarikat gusar dengan rancangan seorang ahli perundangan negara itu untuk mengadakan perbincangan mengenai golongan radikal masyarakat itu yang dijadualkan bermula hari ini.Mereka menyifatkan rancangan Peter King dari Parti Republikan yang juga pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negara Dewan Perwakilan sebagai boleh menyemarakkan sentimen anti-Islam sedekad selepas serangan 9/11 berlaku.
King menuduh pemimpin Islam termasuk imam masjid tidak banyak mengambil langkah menyekat generasi muda Muslim di Amerika menjadi radikal, selain tidak memberi kerjasama kepada agensi undang-undang.
Beliau juga menuduh kebanyakan masjid di Amerika dikuasai golongan pelampau.
“Saya mahu (penduduk Amerika) sedar pergerakan al-Qaeda bersungguh-sungguh menjadikan masyarakat Muslim supaya berpendirian radikal,” kata King, kelmarin.
King berkata, dua warga Muslim Amerika yang tahu mengenai usaha itu di masjid Amerika akan memberi keterangan, termasuk seorang warga Afrika Amerika yang menjadi radikal dan memeluk Islam.
Pemimpin Islam pertama yang menjadi anggota Kongres, Keith Ellison, berkata beliau juga akan memberikan keterangan sebagai pandangan alternatif kepada King.
Tetapi, pertubuhan besar Islam yang tidak langsung dijemput memberi keterangan di bangunan Capitol Hill itu serta pejuang hak asasi mengecam King dan menyifatkan rancangan beliau sebagai usaha mencetuskan ketakutan.
“Tujuh juta penduduk Amerika (yang beragama Islam) tidak wajar menjadi tumpuan syak wasangka,” kata Shahid Buttar yang mengetuai Jawatankuasa Pertahanan Akta Hak.
Peguam Negara, Eric Holder, turut menolak pandangan King bahawa pemimpin Islam tidak memberi kerjasama dan menekankan ‘mereka memberi sumbangan besar menyekat serangan.’
Malah, Pengarah Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR), Nihad Awad menganggap pendekatan King itu sendiri akan menyebabkan generasi muda menjadi radikal.
CAIR merujuk kepada kajian terbaru Universiti Duke menunjukkan 11 warga Amerika beragama Islam melakukan serangan ganas sejak 9/11 menyebabkan 33 kematian berbanding 150,000 pembunuhan di negara itu dalam tempoh sama.
Imam Johari Abdul-Malik dari Majlis Penyelaras Pertubuhan Muslim pula berkata, beliau dan pihak lain mengakui ada orang Islam yang radikal.
“Kami tidak nafikan perkara itu wujud dalam masyarakat. King betul dari segi tertentu, tetapi pendekatannya salah,” kata Johari yang kecewa kerana orang Islam masih dipandang serong, walaupun membantu agensi keselamatan. – AFP
http://www.bharian.com.my
No comments:
Post a Comment