Tuesday, March 29, 2011

Azmin kesal sikap polis



SHAH ALAM - Timbalan Presiden PKR, Mohamad Azmin Ali kesal tindakan polis didakwa menyerbu kediamannya kelmarin semata-mata untuk menyerahkan notis bagi menghadiri penyiasatan di bawah Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah keesokan harinya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa itu berkata, beliau tidak dimaklumkan tujuan penyiasatan itu dilakukan dan meminta ditangguhkan kerana beliau perlu hadir pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang berlangsung semalam.

Menurutnya, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkeras agar beliau hadir memberi keterangan.

“Saya persoalkan cara polis bertindak seolah-olah saya dan rakan-rakan macam penjenayah. Kenapa perlu serah notis seperti itu? Ini adalah gangguan kepada keluarga saya,” katanya ketika ditemui selepas perasmian sidang DUN, semalam.

Azmin berkata, ketika kejadian itu berlaku sekitar jam 11.30 malam, beliau tiada di rumah kerana menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR.

Beliau kesal kerana tidak dimaklumkan tujuan notis itu dihantar dan wujud kesalahan tarikh notis itu dikeluarkan, iaitu pada 26 November.

Menurutnya, notis itu diterima isterinya yang maklumkan bahawa beliau perlu hadir ke IPPD jam 10 pagi.

Beliau berkata, ketika kejadian terbabit, terdapat empat kenderaan polis serta dua kereta di depan rumah beliau.

Sementara itu, Azmin arahkan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap polis yang didakwa membuat kecoh ketika Pelancaran Kempen Tolak Kes Fitnah II anjuran PKR di pekarangan Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Gombak, Taman Melawati, Jumaat lalu.

Menurutnya, peguam sedang meneliti dua kes membabitkan pencerobohan ketika majlis itu dan dakwaan pihak polis bertindak di luar kuasa mereka disebabkan kawasan program itu dijalankan di tempat beliau sendiri.

“Perhimpunan aman dan teratur menjadi kecoh kerana polis cuba timbulkan provokasi. Peguam akan hantar notis kepada polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah menafikan kenyataan Azmin Ali yang mendakwa lebih 20 anggota polis mengepung rumahnya di Ampang, malam kelmarin.

Menurutnya, hanya sebuah kenderaan MPV polis digunakan untuk menghantar notis hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya bagi tujuan rakaman percakapan.

“Tidak ada kepung. Kita hanya serah satu notis mengikut Seksyen 111 Akta Polis untuk rakam percakapan berhubung siasatan terhadap satu ceramah tanpa permit.

“Siapa pula kira sampai 20 hingga 30 orang anggota polis? Hanya satu kereta digunakan. Kita bukan nak menangkap orang, tetapi hanya untuk menyerahkan notis,” katanya pada sidang media di IPD Serdang, semalam.

Dalam pada itu, wartawan Sinar Harian turut berkampung di IPD Ampang Jaya kerana maklumat awal mengatakan Azmin akan memberi keterangan kira-kira jam 10 pagi, semalam.

Azmin tidak muncul kerana beliau menghadiri Dewan Sidang DUN Selangor di Shah Alam.

No comments:

Post a Comment