Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my
2011/03/29
LANGKAH Boustead Holdings Bhd mengambil alih pegangan majoriti dalam syarikat penyedia perkhidmatan pengangkutan helikopter, MHS Aviation Bhd menyediakannya potensi lebih besar untuk memperoleh projek dalam aktiviti pembangunan telaga minyak kecil dan laut dalam di dalam negara serta serantau.
Pengambilalihan membabitkan 51 peratus kepentingan pada harga RM100 juta yang diselesaikan semalam itu, selain meningkatkan keuntungan konglomerat itu dalam jangka panjang juga dijangka membantu mengembangkan lagi sumbangan sektor berasaskan minyak dan gas kepada pendapatannya mulai tahun ini.
Boustead adalah sebuah kumpulan yang mempunyai kepentingan besar dalam pelbagai sektor ekonomi di Malaysia dengan operasinya bertumpu kepada enam bidang utama iaitu perladangan, industri berat, hartanah, kewangan dan pelaburan, perdagangan serta pembuatan dan perkhidmatan.
MHS Aviation pula yang memulakan operasi pada 1983 adalah penyedia perkhidmatan pengangkutan helikopter, perkhidmatan perubatan kecemasan serta kerja mencari dan menyelamat bagi industri minyak dan gas Malaysia.
Ia turut menawarkan kemudahan sewa pesawat bagi helikopter dan kapal terbang serta latihan penerbangan dan perkhidmatan kejuruteraan serta teknikal.
Timbalan Pengerusi yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Boustead, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin, berkata pengambilalihan itu adalah bersinergi dan tepat pada masanya ekoran potensi peningkatan sektor minyak dan gas, khususnya pada separuh kedua tahun ini.
“Kami yakin pembelian itu akan memberikan sumbangan positif kepada keuntungan kumpulan dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi, lebih-lebih lagi dengan reputasi MHS yang mantap serta menjadi perintis dalam perkhidmatan helikopter bagi sektor minyak dan gas pesisir pantai di Malaysia,” katanya kepada media selepas memeterai perjanjian jual beli dengan Pengerusi dan Ketua Eksekutif MHS, Ma’som Mahadi, di Kuala Lumpur, semalam.
Pada majlis itu, MHS turut memeterai perjanjian dengan Eurocopter Malaysia Sdn Bhd bersempena penyerahan unit pertama helikopter EC225 dari lima unit yang dibelinya dengan baki empat unit lagi akan diterimanya secara berperingkat dalam beberapa tahun lagi.
Sektor minyak dan gas kini menjadi antara antara bidang yang diberikan perhatian serius oleh kerajaan dalam usaha menambah jumlah simpanan minyak negara.
PETRONAS pada Januari lalu mengumumkan cadangan untuk mula memberikan kontrak bagi pembangunan telaga minyak kecil tahun ini yang mana ia dijangka membantu membangunkan lagi syarikat penyediaan perkhidmatan industri minyak dan gas tempatan.
MHS Aviation baru-baru ini diberikan kontrak oleh Petronas Cari Gali Sdn Bhd serta kontrak sah lain yang kesemuanya menjangkau tempoh lebih 10 tahun dengan nilai kira-kira RM3.1 bilion.
No comments:
Post a Comment