SHAH ALAM: Sepasang suami isteri hampir termuntah apabila mendapati satu kampit beras yang dibeli di sebuah pasar raya di sini, pada 20 Mac lalu berbau busuk seolah-olah najis haiwan.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang kelmarin, mangsa yang ingin dikenali sebagai Azmi, 38, membuka sekampit beras jenama tempatan seberat 10 kilogram yang dibelinya di sebuah pasar raya namun terkejut apabila terhidu bau busuk sebaik membukanya.
Azmi berkata, selepas diperiksa, dia mendapati ada sesuatu benda pelik berada bersama beras itu dan selepas diamati, dia percaya benda itu adalah najis haiwan.
Menurutnya, sebelum ini, dia tidak membuka bungkusan beras itu sebaik dibeli kerana bekalan beras lama masih mencukupi.
“Sebaik sahaja bungkusan beras itu dibuka bau yang keluar amat busuk seperti najis,” katanya.
Menurutnya, dia bimbang kejadian itu akan berulang dan berlaku kepada pengguna lain jika tiada tindakan segera diambil pengeluar beras berkenaan.
“Sepatutnya pihak terbabit perlu memastikan tahap kebersihan yang tinggi sebelum memasarkan barangannya supaya pembeli tidak menjadi mangsa.
“Saya harap pihak berkaitan dapat lebih berhati-hati selepas ini dalam memastikan kualiti barangan yang dijual,” katanya.
Selain itu, katanya, dia juga sudah membuat laporan kepada Tuntutan Tribunal Pengguna Malaysia (TTPM) untuk tindakan lanjut.
No comments:
Post a Comment