Tuesday, March 29, 2011

Kesilapan bacaan radiasi dikecam





OSAKA - Jurucakap utama kerajaan Jepun menyelar pengendali di Loji Nuklear Fukushima Daiichi kerana memberikan maklumat bacaan radiasi yang salah dan menggelarnya sebagai kesilapan tidak sengaja yang tidak boleh diterima, semalam.

Terdahulu, Syarikat Bekalan Kuasa Elektrik Tokyo (Tepco) melaporkan kesan radioaktif di dalam air di Reaktor No.2 di loji itu mengandungi kadar radiasi 10 juta kali ganda lebih tinggi dari biasa sebelum bacaan sebenar, 100,000 kali ganda, dikeluarkan tidak lama selepas itu.

Yuki Edano berkata, memandangkan pemantauan kadar radiasi adalah perkara paling utam:a untuk memastikan tahap keselamatan orang ramai, kesalahan seperti itu sememangnya langsung tidak sepatutnya berlaku.

"Kerajaan telah memberi amaran kepada Tepco supaya tidak mengulangi kesilapan sama," menurutnya lagi.

Bagaimanapun, dia memahami pekerja di tapak loji itu mungkin keletihan kerana terus berusaha tanpa henti memastikan tidak berlaku kebocoran radiasi yang akan mencetuskan krisis nuklear di loji tersebut.

Kadar radiasi dalam air di Reaktor No.2 meningkat kepada 1,000 milisievert sejam, sehingga menyebabkan kumpulan pekerja yang bekerja keras memulihkan sistem penyejuk di reaktor itu terpaksa dipindahkan.

No comments:

Post a Comment