Tuesday, April 26, 2011

Pelakon, isteri dinasihat kaunseling


Shaharuddin Tambi (kiri) dan Nor'aini Muhammad.
Shaharuddin Tambi (kiri) dan Nor'aini Muhammad.



KUALA LUMPUR: Isteri pelakon Shaharuddin Tambi mengemukakan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur semalam, atas alasan tidak wujud persefahaman dalam perkahwinan mereka yang dibina hampir 33 tahun lalu, selain mendakwa tidak mendapat pembelaan sewajarnya sebagai isteri. 


Plaintif, Nor’aini Muhammad, 51, berkata demikian ketika ditanya Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin, berhubung permohonannya itu terhadap Shaharuddin (defendan), 54, dan memberitahu mereka masih tinggal serumah tetapi berasingan bilik, antara dua atau tiga tahun lalu.
Nor’aini berkata, hubungannya dan suami selalu tidak menentu selain banyak bersabar dengan perbuatan defendan termasuk yang terbaru membabitkan kes antara anak dan menantu mereka.
Menjawab dakwaan itu, Shaharuddin berkata, “Demi Allah, saya tidak ada niat nak bercerai.” 


Katanya, dakwaan isterinya tidak mendapat pembelaan sewajarnya berdasarkan kepada tindakan beliau membantu menyelesaikan pergaduhan kes anak lelaki dan menantu mereka, baru-baru ini. 


“Saya ingin menyelamatkan suasana dengan memarahi anak lelaki kami supaya lebih bertanggungjawab. Waktu itu menantu menelan lima pil tekanan dan apabila ditegur beliau telan lima lagi sehingga lemah dan terjatuh. 


“Saya dan anak memapah menantu saya itu dari tingkat lima untuk dibawa ke hospital menyebabkan isteri saya mendakwa saya lebih mengutamakan menantu kerana apa yang menantu saya hendak beliau akan dapat, ” katanya. 
Shaharuddin yang kini berlakon dalam filem Ratu The Movie berkata, isterinya mengalami perubahan emosi ketara selepas menjalani pembedahan barah rahim bagi mengelakkan penyakit pada peringkat bahaya itu merebak sehingga menjejaskan kesihatannya. 


Katanya, doktor yang merawat isterinya sudah menasihatkannya supaya bersabar dengan emosi pesakit yang akan berubah-ubah dan perkara itu sememangnya berlaku, berkemungkinan emosi terganggu sehingga mendesaknya untuk bercerai. 


Shaiful Azli kemudian menetapkan 15 Jun depan untuk sebutan semula kes bagi memberi peluang kepada pasangan itu mendapatkan khidmat kaunseling sebelum memutuskan sama ada meneruskan permohonan bercerai atau tidak. 


“Saya syorkan kedua-dua menghadiri kaunseling di pejabat agama. Sayang rumah tangga dibina lama runtuh. Sepatutnya pada usia tua kamu perlu beribadah, bercuti dan menjaga cucu bersama-sama, ” katanya. 


Pasangan itu bernikah pada 25 November 1978 dan dikurniakan tiga anak. Sebelum ini, mereka pernah bercerai pada 7 Ogos 1984 sebelum rujuk semula keesokannya. -bharian

No comments:

Post a Comment