Tuesday, April 26, 2011

Ramai pelatih PLKN buta huruf



Oleh Norliza Wasilan
norlizawasilan@bharian.com.my
2011/04/26

JLKN sedia modul i-smart atasi masalah tidak boleh membaca, menulis 

KOTA BHARU: Lebih 1,300 daripada 13,000 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang mengikuti program berkenaan akhir tahun lalu, didapati buta huruf.
Bagi mengatasi masalah itu, Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), memasukkan modul tambahan iaitu i-smart bagi kemasukan pelatih Kumpulan Tiga pada September depan.
Ketua Pengarah JLKN, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata pihaknya akan memasukkan modul i-smart dengan kelas khas diadakan pada waktu rehat, tanpa mengganggu modul lain. 

“Modul i-smart adalah untuk mengatasi masalah pelatih tidak boleh membaca, menulis, tidak pernah bersekolah, oleh itu kita akan adakan kelas tambahan dibangunkan JLKN dan Kementerian Pelajaran. 

“Kita berharap modul ini membantu mereka membaca atau sekurang-kurangnya mampu memahami tulisan pada papan tanda atau pun mengambil ujian bagi lesen memandu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. 

Ketika mengulas mengenai pengharaman senaman tarian poco-poco di Perak, Abdul Hadi berkata, semua 10 kem yang memuatkan kira-kira 4,000 pelatih untuk kemasukan Kumpulan Kedua pada 15 Mei ini di negeri itu tidak lagi melakukan poco-poco, sebaliknya diganti dengan senam seni. 
Beliau berkata, langkah berkenaan diambil supaya selaras dengan pengharaman poco-poco oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, baru-baru ini. 

“Ada dua jenis senaman iaitu sama ada pelatih melakukan poco-poco atau senam seni di kem masing-masing, bagaimanapun, disebabkan Perak mengharamkannya maka kita memberi kuasa kepada setiap kem menggantikannya kepada senam seni. 

“Bagi kem PLKN selain di Perak, kita teruskan senaman tarian poco-poco memandangkan muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan ia tidak haram,” katanya. -bharian

No comments:

Post a Comment