AMPANG: Penyanyi era 60-an yang popular dengan lagu Penawar Rindu, Datin Orkid Abdullah kini terlantar sakit di rumahnya di Dataran Ukay 2, Hulu Klang, dekat sini.
Orkid, 64, yang menghidap ketumbuhan hormon tidak stabil (paraganglioma) sejak tiga tahun lalu, berada dalam keadaan lemah dan hanya mampu terbaring atas katil. Katanya, keadaan fizikalnya berada dalam keadaan sangat lemah, malah tengkuk serta kepalanya tidak dapat ditegakkan dengan stabil. “Saya tidak lalu makan. Jika masuk sesuap pun, akan muntah semula. Nak angkat tangan pun tak berdaya dan nak bercakap pun sukar. “Semua dalam badan sudah ‘upset’. Keseluruhan tubuh badan terasa sangat lemah,” katanya ketika dikunjungi di rumahnya, semalam.
Beliau dijaga anak ketiganya, Mohd Noorshafri Datuk Mokhtar, 35. Buat masa ini, beliau hanya boleh minum milo, susu dan makan sayur-sayuran.
Kata Noorshafri, ibunya berulang-alik ke hospital setiap bulan untuk rawatan susulan dan bekalan ubat.
“Ibu mula terlantar sakit sejak Julai tahun lalu. Buat masa ini, saya cuba memberikan penjagaan terbaik dan membawa ibu ke hospital. “Sekarang, beliau menyatakan tidak mahu lagi ke hospital. Saya hanya berserah pada Allah dan demi seorang ibu, saya cuba membuat apa saja untuknya memastikan beliau selesa,” katanya. Orkid pernah menjalani dua pembedahan pada 2008 dan 2010 dan turut menghidap darah tinggi dan mengambil insulin untuk kencing manis.
Sebelum ini, turut mengunjungi penyanyi ghazal dan Melayu asli itu adalah Datin Azizah Mohamad, Mak Jah, Aspalela Abdullah, S Rohani dan Mariani.
No comments:
Post a Comment