Wednesday, April 13, 2011

Juruterbang rombongan Muhyiddin maut


REMUK TERUK: Helikopter yang terhempas hingga meragut nyawa Kapten Sahaimi. Tan Sri Muhyiddin (ketiga dari kanan dalam gambar sisipan) turut menyaksikan pembedahan yang dijalankan ke atas juruterbang itu di bilik pembedahan Hospital Sibu. -- Foto BHM


SIBU (Sarawak): Juruterbang helikopter yang membawa rombongan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dari Bintangor di Sarikei, dekat sini, maut apabila pesawat itu terhempas di Dataran Sibu selepas menurunkan tiga penumpangnya, termasuk setiausaha akhbar Tan Sri Muhyiddin, Encik Hafiz Abdul Halim.
Kapten Sahaimi Ghazali, 38 tahun, yang berasal dari Selangor, meninggal dunia di Hospital Sibu pada 8.36 malam kelmarin akibat kecederaan parah pada paru-paru dan hatinya.Kejadian di depan Wisma Sanyan pada 1.50 petang itu berlaku ketika helikopter milik Sabah Air itu mahu berlepas ke Lapangan Terbang Sibu.Ia menyebabkan helikopter pesawat itu remuk teruk, terutama di bahagian kipas.Tan Sri Muhyiddin menaiki helikopter berasingan dan mendarat di dataran sama, sebelum kejadian tersebut, bagi memulakan programnya di sini selepas melakukan lawatan kerja ke Kanowit dan Bintangor.Beliau dan isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman, kemudian meluangkan masa melawat juruterbang itu di hospital.Ketua Polis Sibu, Penolong Pesuruhjaya (ACP) Shafie Ismail, berkata Allahyarham Sahaimi menjalani pembedahan dan dibantu alat sokongan pernafasan tetapi gagal diselamatkan kerana kecederaan serius.Menurut beliau, siasatan awal menunjukkan helikopter itu terhempas sebaik saja berada pada ketinggian kira-kira dua meter.Allahyarham tersepit sebelum dikeluarkan orang ramai. Beliau meninggal dunia kira-kira tujuh jam selepas kejadian.Tan Sri Muhyiddin mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.'Allahyarham meninggal dunia ketika berkhidmat untuk negara. Kita akan melihat bantuan yang boleh disalurkan kepada keluarganya,' kata beliau sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur selepas lawatan kerja seharinya itu ke Sibu dan Sarikei malam kelmarin.Tan Sri Muhyiddin, yang menghabiskan kira-kira 15 minit di luar dewan pembedahan hospital, turut menyaksikan proses pembedahan yang dijalankan ke atas Allahyarham.'Saya rasa dukacita dengan kemalangan yang berlaku ke atas Kapten Sahaimi. Saya telah menyaksikan pembedahan yang sedang dilakukan,' kata beliau.Tan Sri Muhyiddin turut menyalurkan bantuan peribadi bagi membiayai belanja pengurusan jenazah Allahyarham. -- BHM, mStar Online,cyberita

No comments:

Post a Comment