Wednesday, April 13, 2011

Cari ibu anak angkat


KUANTAN: Seorang guru wanita putus asa selepas usaha mengesan ibu kepada anak angkatnya menemui jalan buntu apabila wanita terbabit menghilang diri sehingga kini.
Guru itu yang dikenali sebagai Fidah, 35, berkata, dia mengambil bayi yang kini berusia tujuh bulan pada Jun 2010 daripada seorang gadis berusia 19 tahun di sebuah pasar raya di Kuala Lumpur.

“Ketika itu gadis terbabit gelisah dan menangis sebelum saya bersama suami menghampirinya bagi mengetahui masalahnya.

“Gadis itu mendukung bayi yang berada dalam keadaan serba daif selain seluruh tubuhnya berbintik kemerahan digigit nyamuk,” katanya yang mengajar di sebuah sekolah rendah, di sini.

Menurutnya, gadis itu menyerahkan bayi kepadanya dan meminta dijaga dengan baik serta menganggapnya seperti anak sendiri.

Katanya, gadis terbabit menghilangkan diri tanpa meninggalkan sebarang dokumen atau pengenalan mengenai bayi itu.

“Bayi itu yang saya panggil Ika masih dalam jagaan saya dan ingin sangat bertemu ibunya bagi membantu proses mengambilnya sebagai anak angkat,” katanya.

Katanya, dia dan suaminya sudah merujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berhubung perkara itu dan berharap ibu bayi terbabit menghubunginya segera.

No comments:

Post a Comment