Wednesday, April 13, 2011

Keluarga kemuka bukti Sarbani bukan bunuh diri




 GHAZALI dan Awtar Singh Gill (kanan) dilantik  wakil keluarga Allahyarham Ahmad Sarbani adakan sidang media di Ipoh, semalam.
GHAZALI dan Awtar Singh Gill (kanan) dilantik wakil keluarga Allahyarham Ahmad Sarbani adakan sidang media di Ipoh, semalam.
IPOH: Keluarga Penolong Pengarah Cawangan Import, Eksport dan Kawalan Sempadan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed, 56, yang ditemui mati di tingkat satu, pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Jalan Cochrane, 6 April lalu, mengemukakan beberapa maklumat baru bagi membuktikan Allahyarham tidak membunuh diri. 


Maklumat itu diberi kepada firma guaman iaitu Tetuan Awtar Ghazali Augustine & Co beroperasi di sini yang dilantik sebagai wakil keluarga Allahyarham sebelum diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.
Wakil firma guaman berkenaan, Ghazali Mohd Ramli, berkata keluarga Allahyarham menemui beberapa maklumat baru yang dipercayai boleh membantu siasatan polis bagi membuktikan kematian itu bukan membunuh diri, sebaliknya didakwa berunsurkan jenayah.
“Keluarga Allahyarham jelas tertekan dengan pelbagai spekulasi yang dibuat berhubung kematian Ahmad Sarbani terutama yang dilaporkan menerusi media cetak dan elektronik. 


“Laporan berkenaan berbaur spekulasi kerana tiada sesiapa pun yang tahu apa sebenarnya berlaku pada hari kejadian berkaitan dengan diri dan kematian Allahyarham,” katanya pada sidang media di sini, semalam. 


Ghazali berkata, isteri Allahyarham pernah memberitahu mengenai pengakuan suaminya sebelum kejadian sama ada terbabit dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram. 


“Ketika ditanya sama ada Ahmad Sarbani terbabit dalam kes berkenaan, Allahyarham menidakkan dakwaan itu. 
“Justeru, keluarga mereka meminta semua pihak berhenti membuat sebarang spekulasi termasuk laporan media yang menggambarkan seolah-olah Allahyarham terbabit dalam kegiatan rasuah dan hidup dalam kemewahan serta mempunyai banyak aset,” katanya. 


Pada sidang media sama, Ghazali turut melampirkan kenyataan media yang menyenaraikan aset dimiliki Allahyarham dan keluarganya iaitu: 


– Tiga kereta iaitu Perodua Kancil yang dibeli pada 2001, Honda CRV terpakai (2004), Proton Pesona yang dibeli beberapa bulan lalu dan sebuah motosikal Modenas Kriss yang dibeli pada 1998. 


– Tiga rumah iaitu dua apartmen masing-masing di Bukit Tinggi, Klang yang dibeli pada 17 April 2003 dengan harga RM65,872 dan di Puncak Alam, Mukim Ijok, Kuala Selangor yang dibeli pada 1998 bernilai RM68,988 serta rumah berkembar kluster di Saujana Impian, Sungai Buluh yang dibeli pada 2005 dengan harga RM230,000 menggunakan pinjaman perumahan kerajaan. 


– Wang simpanan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) berjumlah RM35,000 iaitu wang dikeluarkan isteri Ahmad Sarbani daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja selepas mencapai usia 50 tahun. -bharian

No comments:

Post a Comment