Wednesday, April 13, 2011

Nizar persoal sikap polis



IPOH – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin mempersoalkan tindakan tiga anggota polis yang melakukan imbasan ke atas setiap individu memasuki dewan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang itu mendakwa, ia berlaku ketika beliau hendak memasuki ke Dewan Mesyuarat pagi semalam, sedangkan perbuatan itu tidak pernah dilakukan sebelum ini.

Beliau yang tidak berpuas hati dengan tindakan polis berkenaan, kemudian bertanyakan kepada Pegawai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang kebetulan berada di hadapan pintu masuk dewan.

“Pegawai berkenaan memaklumkan, pihaknya tidak mengeluarkan sebarang arahan untuk mengadakan imbasan ke atas ADUN yang memasuki dewan untuk bersidang.

“Jadi, saya tidak membenarkan pihak berkenaan melakukan imbasan ke atas semua ADUN Pakatan Rakyat (PR),” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas menghadiri istiadat pembukaan rasmi Penggal Keempat Dewan Negeri Yang Ke-12 Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, semalam.

Mohammad Nizar yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak I, turut mempersoalkan pemasangan sebuah alat elektronik yang berfungsi untuk merakamkan suara sepanjang sidang DUN berlangsung.

Beliau mendakwa alat yang dipercayai dipasang polis itu adalah satu daripada teknologi gajet terkini.

Bagaimanapun, katanya, gajet elektronik yang difahamkan dipasang dalam Dewan Mesyuarat itu sudah pun diturunkan.

“Saya hairan kenapa ada anggota polis berkeliaran dalam dan luar dewan, seolah-olah tidak percaya dengan kelancaran perjalanan sidang DUN,” katanya yang tidak berpuas hati dengan kehadiran anggota polis sepanjang sidang itu.

Sementara itu, beliau turut tidak berpuas hati dengan sidang DUN kali ini kerana diadakan ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

“PR kecewa kerana tidak dapat membantu berkempen bagi menggerakkan jentera pilihan raya pembangkang di Sarawak. Jika tarikh asal sidang DUN 5 April lalu tidak diubah hari ini, sudah tentu kami akan ke Sarawak untuk membantu PR,” katanya.

No comments:

Post a Comment