KANGAR — Kanak-kanak yang menghidap penyakit berkepala besar atau, ‘hidrosefalus’, Mohd. Irfan Mohd. Iswadi, sembilan bulan, meninggal dunia hari ini dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini selepas menderita penyakit itu sejak dilahirkan.
Ibu kanak-kanak itu, Norzana Zainon, 25, berkata, anak tunggalnya itu menghembuskan nafas terakhirnya pukul 7.20 pagi setelah tiga hari mengalami demam selsema dan sukar tidur.
"Saya dan suami membawa Mohd. Irfan ke hospital setelah dia kelihatan penat namun doktor mengesahkan anak saya meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital,” katanya ketika ditemui di HTF di sini.
Menurutnya, pada 14 Mac lalu, anaknya dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) kerana tiub yang dipasang di kepalanya yang disambung ke perut telah tersumbat dan memerlukan pembedahan tetapi tarikh pembedahan itu belum ditetapkan.
Allahyarham juga dijadualkan menerima rawatan susulan di HPP, 12 Mei ini.
Jenazah kanak-kanak itu dibawa pulang ke Kampung Padang Benta dekat sini dan dikebumikan selepas waktu zohor. — Bernama
No comments:
Post a Comment