AYER KEROH - Melahirkan 16 orang anak bukanlah perkara yang mudah apatah lagi pula hendak membesarkan mereka menjadi insan berjaya dan berguna.
Namun bagi penerima Anugerah Ibu Cemerlang Melaka, Fatimah Keling, 74, yang berasal dari Tangga Batu ini, biarpun mempunyai anak yang ramai namun dia berjaya membesarkan mereka dengan sempurna.
Fatimah berkahwin dengan suaminya Md Yussof Sultan, 84, seawal umurnya 17 tahun dan telah dikurniakan anak pertama pada usia 18 tahun.
Anak sulungnya Sidiah, 56 berkata, ibunya seorang yang tegas dalam mendidik anak-anak.
Menurutnya, Fatimah amat mementingkan disiplin dalam membesarkan mereka adik-beradik.
“Sejak dari dahulu ibu tidak suka anak-anaknya pulang lewat, sebelum waktu Maghrib kami perlu pulang ke rumah.
“Jika tidak dia akan mencari kami dan membawa kami pulang,” katanya kepada pemberita di majlis Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Melaka di dewan Sri Negeri di sini semalam.
Jelasnya, ibunya tidak pernah merungut berkenaan hal pelajaran sewaktu mereka bersekolah.
“Dia tidak kisah namun ayah pula sentiasa mengingatkan kami jika hendak berjaya dan mendapatkan kerja yang bagus perlulah rajin belajar.
“Namun ibu memang kuat berleter, dia tidak pernah jemu menasihatkan kami adik-beradik,” katanya.
Sementara itu Fatimah berkata, dia bersyukur dan gembira kerana menerima Anugerah Ibu Cemerlang Melaka kali ini.
“Pengorbanan ibu dipandang tinggi dan penghargaan seumpama ini diharap dapat memberi dorongan kepada ibu-ibu lain membesarkan anak mereka dengan baik,” katanya.
Fatimah kini mampu tersenyum melahirkan 16 anak. Tiga daripadanya bergelar doktor, seorang guru, seorang usahawan berjaya, empat pensyarah seorang peguam dan jurutera.
thats my mother :-)
ReplyDelete*anak bongsu mak*