Friday, May 20, 2011

Hayat hanya 14 hari

HIBA...Wan Mariah sebak mengenang nasib menimpa anak lelaki tunggalnya.
HIBA...Wan Mariah sebak mengenang nasib menimpa anak lelaki tunggalnya.


NASRUL NIZAM...maut
NASRUL NIZAM...maut

TUMPAT: “Kami panik apabila melihat keadaannya (bayi) lembik dan tidak bermaya, selain air putih dilihat keluar pada bahagian mulut dan hidungnya,” kata Wan Mariah Wan Abdullah, 39, ibu kepada seorang bayi lelaki berusia dua minggu yang maut apabila tersedak susu dalam kejadian di Kampung Kutan Hulu, Wakaf Bharu, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, kegembiraan pasangan suami isteri yang baru mendapat cahaya mata lelaki diberi nama Nasrul Nizam Mazalan hanya bertahan selama 14 hari kerana terpaksa menerima hakikat anak ketiga daripada tiga beradik itu meninggal dunia dalam kejadian berkenaan.

Malah, impian untuk melakukan majlis cukur jambul di rumah ayahnya di Kampung Jintan, Chekok, Pasir Mas, minggu depan terpaksa dibatalkan ekoran kejadian berkenaan.

Menceritakan kejadian itu, Wan Mariah berkata, kira-kira jam 11 malam kelmarin, dia bangun untuk membuat susu botol bagi anaknya itu sebelum kedua-duanya tidur di bilik berasingan daripada suaminya, Mazalan Mansur, 38, serta dua anaknya yang lain.

“Ketika itu, saya lihat susu yang diminum sebanyak dua auns tidak habis. Anak saya kemudian tertidur sebelum tersedar menyebabkan saya mengesat susu yang mengalir di mulut dan selepas didodoi, anak saya tidur lena.

“Bagaimanapun, kira-kira jam 1 pagi, anak saya bangun semula dengan tangisan yang agak kuat. Hampir tiga jam dia terlena sebelum sekali lagi bangun kira-kira jam 4 pagi,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.


Menurut Wan Mariah, ketika bangun untuk kali kedua, dia memberikan susu kepada anaknya itu kerana bimbang dahaga, namun anaknya enggan meminumnya sebelum diberikan air putih dan tertidur.

Katanya, dia tergamam apabila melihat keadaan anaknya tidak bermaya dan lembik selepas bangun dari tidur kira-kira jam 6 pagi.

“Saya sempat memanggil suami dan kami begitu panik dengan keadaan itu. Ketika itu, suami berusaha menyedut air di mulut anak kami menggunakan mulutnya, tetapi tidak menampakkan sebarang kesan.

“Tanpa berlengah, kami segera membawanya ke Klinik Kesihatan Wakaf Bharu pada pagi tadi (semalam), sebelum doktor yang membuat pemeriksaan mengesahkan anak kami meninggal dunia akibat tersedak susu,” katanya.

Wan Mariah berkata, bayinya itu dilahirkan secara normal dengan berat badan 2.3 kilogram, dua minggu lalu. Pasangan itu yang bernikah pada 2006 dikurniakan dua anak lain iaitu Nor Ayuni Natasya, 5, dan Nor Asmaniza, 2.

“Memang sudah lama kami mengidam mendapat bayi lelaki sebelum saya disahkan mendapatnya tahun ini, namun terpaksa melepaskannya dengan berat hati selepas dia meninggal dunia akibat kejadian menimpanya pagi tadi.

“Semua ini takdir Tuhan dan kami harus terima dengan reda,” katanya.

Jenazah Nasrul Nizam disemadikan di Tanah Perkuburan di Kampung Kutan Hulu, Wakaf Bharu, kira-kira jam 4 petang semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Superintendan Shariffudin Yusof, ketika dihubungi mengesahkan kejadian menimpa bayi terbabit.

No comments:

Post a Comment