AMENG (depan) ketika Program Mesej Dari Penjara Zon Selatan bersama rakan-rakannya di Penjara Kluang, semalam. |
KLUANG: Penyanyi kumpulan Spring, Wan Aminuddin Wan Ismail atau lebih dikenali sebagai Ameng, semalam sekali lagi menimbulkan kontroversi, apabila dijatuhkan hukuman gantung sampai mati, akibat kesalahan mengedar dadah.
Hukuman itu bukan saja menimbulkan kejutan kepada kedua orang tua penyanyi yang popular dengan lagu Sampai Hati dan Butakah Cinta itu malah menyebabkan orang ramai yang hadir turut tergamam apabila mahkamah menjatuhkan hukuman berkenaan.
Bagaimanapun ‘kejutan’ itu sebenarnya antara adegan dipersembahkan Ameng yang memegang watak sebagai Hairul bersama rakannya dalam sketsa dipersembahkan Kumpulan Kesenian dan Kebudayaan Penghuni Penjara Kluang sempena Program Mesej Dari Penjara: Zon Selatan, yang diadakan di sini, semalam.
Malah persembahan sketsa Ameng yang juga vokalis kumpulan Spring serta rakannya itu meruntun perasaan orang ramai selepas dia mendendangkan lagu Mati Hidup Semula yang pernah dipopularkan Jamal Abdillah ketika teater berkenaan.
Program Mesej Dari Penjara: Zon Selatan itu program pertama yang diadakan di penjara negara ini bagi memasyarakatkan penjara serta membolehkan banduan dan pesalah diterima semula dan tidak disisihkan masyarakat apabila mereka keluar.
Antara pengisian program yang membabitkan masyarakat setempat itu adalah persembahan teater, ceramah Mesej Dari Penjara, sesi dialog serta pameran hasil kerja tangan banduan yang dijual termasuk batik, kraftangan kayu dan kuih-muih.
Ia dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr Robia Kosai.
No comments:
Post a Comment