Tuesday, May 10, 2011

Nelayan halang kapal besi



Sebahagian nelayan dari lima pangkalan mengadakan protes berhampiran Jeti Kelanang, Kuala Langat, semalam.


KUALA LANGAT 9 Mei - Seramai 440 nelayan bertindak menyusun 310 bot dan sampan mereka di perairan Sungai Langat berhampiran jeti Kelanang hari ini, bagi menyekat laluan kapal pengangkut besi, yang dikatakan menjadi punca pendapatan mereka terjejas.
Bantahan secara aman bermula pukul 8 pagi turut menuntut kerajaan negeri memberi pampasan di atas kerugian dan kemerosotan hasil pendapatan akibat aktiviti kapal-kapal pengangkut besi di situ.
Nelayan terbabit dari lima pangkalan di daerah ini bersama 94 buah bot dan 216 buah sampan sepakat tidak berganjak selagi kerajaan negeri dan pihak terlibat tidak turun padang menyelesaikan masalah mereka.
Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kuala Langat, Wan Abu Bakar Mansor berkata, kerajaan negeri melaung-laungkan slogan hasil negeri untuk rakyat dan negeri berkebajikan tetapi sehingga kini tiada sebarang pampasan diberikan kepada nelayan terbabit.
"Sedangkan semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) dahulu nelayan diberikan pampasan dalam bentuk barangan kelengkapan menangkap ikan.
"Pendapatan kami semakin merosot akibat wujudnya 'port limit' iaitu nelayan tidak dibenarkan menangkap ikan di kawasan laluan kapal besi terbabit," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurutnya, masalah tersebut sudah diajukan kepada Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetapi sehingga kini tiada tindakan berkesan diambil sebagaimana dijanjikan.
Ketua Pangkalan Nelayan Jeti Kelanang, Zanizam Ismail berkata, mereka sudah hilang kepercayaan kepada kemampuan kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah tersebut.
"Jadi sekarang kami berharap Kerajaan Persekutuan dapat membantu menyelesaikan masalah ini kerana kami benar-benar rasa terhimpit," tegasnya.
Ketua Pangkalan Nelayan Tongkah, Majani Masro berkata, satu memorandum sudah diserahkan kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar pada Februari tahun lalu dan berharap tindakan segera dapat diambil.
"Setiap hari kami terpaksa berhati-hati memukat di kawasan ini kerana khuatir pukat rosak apabila tersangkut pada kapal-kapal besi yang melalui perairan ini," luah beliau.
Seorang nelayan Orang Asli dari Pangkalan Nelayan Pulau Carey, Kamal Ajil, 34, pula berkata, dia sering pulang dengan tangan kosong akibat pewartaan kawasan 'port limit' dan aktiviti kapal-kapal besi di kawasan perairan itu.

No comments:

Post a Comment