Tuesday, May 10, 2011

'Kami dilayan macam mafia'



AKTIVITI jualan kereta mewah oleh Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) terjejas akibat serbuan pihak berkuasa. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Operasi perniagaan Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) yang mencecah ratusan juta ringgit setahun kini terjejas berikutan serbuan oleh pihak berkuasa ke atas lebih 20 ahli persatuan itu baru-baru ini.
Ia berikutan tindakan pihak berkuasa membekukan akaun syarikat-syarikat itu bagi membolehkan siasatan dilakukan atas dakwaan mengikrar kenderaan di bawah harga sebenar dan membabitkan cukai tertunggak yang belum dibayar.
Empat agensi iaitu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kastam Diraja dan Bank Negara Malaysia terlibat dalam serbuan pada 5 Mei itu.
Yang Dipertua Pekema, Datuk Zainuddin Abdul Rahman mempertikaikan operasi tersebut yang disifatkannya keterlaluan apabila akaun syarikat-syarikat tersebut turut dibekukan.
“Ada ahli-ahli kami dimaklumkan oleh pegawai terbabit bahawa mereka disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001.
“Jika benar, Pekema amat kesal kerana peniaga Bumiputera seperti kami dilayan bagaikan pengganas dan mafia.
“Operasi tersebut memberi kesan negatif kepada ahli-ahli kami yang ada di antara mereka sudah pun menjalankan perniagaan sejak 30 tahun lalu.
“Mereka akan berhadapan dengan masalah operasi termasuk sukar membayar gaji para pekerja,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Beliau menjelaskan, pihaknya sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa sekiranya dimaklumkan mengenai perkara tersebut terlebih dahulu.

No comments:

Post a Comment