Tuesday, May 10, 2011

Orang kuat UMNO Ketereh sertai Pas



KOTA BHARU – Orang kuat UMNO Bahagian Ketereh mengambil keputusan menyertai Pas selepas melihat kecelaruan berlaku dalam parti yang disertainya sejak 38 tahun lalu.

Bekas Ketua Pemuda UMNO Ketereh, Sabri Shafie menyerahkan sendiri borang keahlian Pas kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sabri berkata, tindakan itu dibuat kerana beliau menyedari suasana politik masa kini memerlukan masyarakat Melayu bersatu di bawah organisasi yang boleh dipercayai.

“Saya melihat Pas merupakan wadah yang tepat bagi menyatukan masyarakat ketika UMNO menghadapi pelbagai bentuk kecelaruan.

“Saya berharap orang Melayu di negara ini beralih kepada Pas bagi meneruskan perjuangan menegakkan Islam.” Katanya yang juga pernah menjadi calon Barisan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadok.

Sabri menyatakan rasa terharunya kerana Nik Aziz menyambut baik penyertaannya sebagai ahli seumur hidup, saya berjanji akan membantu jentera Pas dalam menangkis fitnah dan tohmahan dari parti lawan.

Nik Aziz ketika diminta mengulas penyertaan tokoh politik itu berkata, kemasukan ahli UMNO itu adalah kehendak Allah SWT serta membuktikan kejayaan pentadbiran Pas di Kelantan sejak lebih 21 tahun berjaya menarik perhatian anggota parti lawan.

“Walaupun pelbagai tohmahan dan fitnah dilemparkan pihak lawan terhadap Pas masa kini, namun ia tidak boleh menafikan kebenaran yang ada dan kemasukan orang kuat UMNO Ketereh diharap dapat menyedarkan rakan-rakan beliau yang masih berada di dalam UMNO,” katanya.

Penyertaan Sabri katanya, sudah semestinya menambah kekuatan Pas bagi kawasan Keterah dan di negeri ini secara amnya.

Turut hadir pada pertemuan tersebut ialah Senator Rosli Ibrahim dan Setiausaha Politik Menteri Besar Wan Nik Wan Yusoff.

No comments:

Post a Comment