PUTRAJAYA: “Kerja menyemak blog itu kerja polis. Beri peluang kepada polis siasat perkara itu,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom ditanya sama ada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan turut menyiasat penyebaran artikel berkaitan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan.
Menurutnya, perkara itu membabitkan isu keselamatan negara manakala Jakim hanya menguruskan hal ehwal berkaitan Islam sahaja. “Jakim tidak akan campur tangan dalam siasatan itu kerana ia bukan hanya membabitkan agama Islam semata-mata, tetapi ia berkait dengan hal ehwal agama lain dan keselamatan negara. “Kami akan tunggu hasil siasatan polis. Hal berkaitan usaha menukar agama lain menjadi agama rasmi Persekutuan adalah kerja polis dan Jakim tiada kuasa untuk siasat.
“Ini penting (untuk diketahui) jika tidak, akan berlaku pertembungan antara Islam dan agama lain,” katanya pada pemberita selepas menerima kunjungan hormat 10 pensyarah dan profesor dari Universiti Al-Azhar Mesir di pejabatnya di sini, semalam. Sebelum ini, media melaporkan mengenai blog yang menyiarkan artikel berjudul ‘Making The Christianity Official Religion’ yang mendedahkan pertemuan sekumpulan 100 paderi dalam usaha menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini meminta semua pihak bertenang dan memberi ruang kepada kerajaan menyiasat dakwaan usaha menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara. Mengenai 10 pensyarah dan profesor berkenaan, Jamil Khir berkata, mereka rata-rata berkelulusan doktor falsafah (Phd) dan akan berkhidmat sebagai tenaga pengajar secara kontrak selama dua tahun.
No comments:
Post a Comment