BERITA kematian perancang serangan 11 September 2001 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York, Osama bin Laden dalam serangan tentera Amerika Syarikat (AS) telah menggemparkan dunia.
Ada yang gembira dengan berita tersebut terutama mereka yang kehilangan ahli keluarga, rakan dan kenalan dalam serangan-serangan yang didalangi pengganas paling dikehendaki itu dan ada juga yang tidak mempercayainya.
Bagaimanapun, bagi mereka yang berkongsi pandangan dengan ketua rangkaian keganasan, al-Qaeda itu, merasakan kematian Osama satu kehilangan besar dan kerugian.
AS mendakwa berjaya membunuh Osama dalam satu serangan yang diketuai tentera negara itu di Pakistan, kelmarin. Presiden AS, Barrack Obama menyatakan mayat Osama kini berada dalam simpanan negara itu.
Pengumuman kematian tersebut menimbulkan perasaan ingin tahu yang tinggi di kalangan orang ramai mengenai maklumat terperinci berhubung bagaimana, bila dan di mana ketua al-Qaeda itu dibunuh, selain apakah kesan dan impak kematiannya.
Jika dilihat latar belakang Osama, pasti ramai yang tidak mempercayai beliau akan menjadi penjenayah paling dikehendaki di dunia.
Ini kerana Osama yang dilahirkan di Jeddah, Arab Saudi pada 1957, merupakan anak ke-17 kepada seorang hartawan pembinaan di negara itu.
Osama juga merupakan seorang yang berjaya dalam kerjayanya. Sebagai seorang jurutera sivil, beliau terkenal dalam sektor pembinaan dan dianggarkan memiliki aset dan harta bernilai AS$400 juta (RM1.2 bilion).
Dia turut dilaporkan mempunyai tiga orang isteri dan lebih 20 orang anak.
Osama bekerja di syarikat bapanya sebelum menyertai perang di Afghanistan menentang penaklukan Kesatuan Soviet di negara itu pada 1979 di mana dia dilapor mula menubuhkan kem dan pusat ketenteraan al-Qaeda pada 1988.
Dia pulang semula ke Arab Saudi selepas askar Kesatuan Soviet berundur dari Afghanistan pada 1989, namun setahun kemudian berpindah pula ke Yemen kerana kecewa atas tindakan pemerintah Arab Saudi, negara kelahirannya membenarkan tentera AS menggunakan negara itu sebagai pangkalan menyerang Iraq semasa Perang Teluk.
Selepas dibuang oleh keluarga dan kerakyatan beliau ditarik pada 1994 kerana didakwa menyalurkan dana untuk aktiviti keganasan, Osama menetap di Afghanistan.
Dengan membentuk hubungan dengan beberapa organisasi pelampau dari pelbagai negara, dia menjadikan al-Qaeda sebagai nukleus dalam kempennya menghalau rakyat Amerika dan Israel dari negara-negara Arab.
Osama turut dituduh oleh AS mendalangi serangan bom ke atas berek tentera AS di Dhahran, Arab Saudi pada 1996, Kedutaan AS di Kenya dan Tanzania (1998) selain kapal perang AS di Yemen pada 2000.
Nama Osama dimasukkan dalam senarai pengganas paling dikehendaki di AS pada 1999 dengan tawaran hadiah bernilai AS$5 juta (RM15 juta).
AS mula melancarkan serangan besar-besaran ke atas al-Qaeda dan tuan rumah kepada kumpulan itu di Afghanistan, Taliban selepas AS mengisytiharkan Osama sebagai dalang utama dalam serangan 11 September ke atas WTC dan Pentagon.
Ketika pemburuan ke atas Osama berlanjutan sehingga mengambil masa hampir 10 tahun, AS dimalukan kerana beberapa kali gagal menemui pengganas nombor satu dunia itu.
Petunjuk-petunjuk mengenai kedudukannya tidak membantu ketika perisikan AS berterusan menerima maklumat bahawa Osama bersembunyi di sempadan Afghanistan-Pakistan.
Misi-misi dalam jumlah tidak terkira yang dilancarkan oleh tentera AS termasuk serangan peluru berpandu drone AS bagi membunuh Osama ternyata sekadar membunuh anggota Taliban dan al-Qaeda, namun Osama tetap selamat dan masih bebas.
Bagaimanapun, selepas 3,539 hari insiden serangan ke atas WTC yang mengakibatkan hampir 3,000 orang terbunuh, Osama ditemui di bandar Abbottabad, Pakistan kelmarin dan dibunuh selepas satu serangan tentera AS ke atas sebuah rumah agam di bandar itu yang dikatakan menjadi tempat persembunyian Osama.
Di AS, berita kematian Osama disambut gembira oleh penduduknya dan sekutunya.
Beribu-ribu rakyat AS berkumpul di Ground Zero, WTC bagi meraikan dan menyambut pembunuhan dalang utama serangan 11 September dan musuh AS.
Namun, adakah kematian Osama membawa perubahan terutama dalam membantu menangani keganasan? Mungkin tiada sesiapa menangis di atas kematian Osama, tetapi pembunuhannya dilihat tidak akan mengurangkan ancaman militan ke atas Washington.
AS sendiri menyedari hakikat itu dan Obama telah mengeluarkan amaran kepada rakyatnya di luar negara supaya berjaga-jaga terhadap ancaman keganasan ekoran kematian Osama.
Ini ditambah dengan perasaan tidak senang dunia Arab terhadap kehadiran AS di rantau Asia Barat yang dilihat semakin meningkat sejak pencerobohan AS di Afghanistan dan Iraq, selain konflik Israel-Palestin.
Osama yang mahu menamatkan pengaruh AS di dunia Islam, dilihat berjaya dalam beberapa insiden termasuk pengunduran AS dari Beirut, Lebanon pada 1985 selepas Hizbullah meletupkan berek tentera marin AS yang mengakibatkan 200 askar maut.
Ideologi anti-Amerika yang dibawa oleh Osama dan al-Qaeda turut dijadikan landasan beberapa kumpulan ekstremis dan militan lain di seluruh dunia.
No comments:
Post a Comment