ISLAMABAD: Kematian Osama bin Laden satu kehilangan besar kepada al-Qaeda, tetapi pakar berkata ia tidak akan menghalang kumpulan militan serpihan di Afghanistan dan Pakistan membalas dendam.
Malah, semalam Taliban mengancam menyerang pemimpin kerajaan Pakistan termasuk Presiden Asif Ali Zardari, selain tentera Pakistan dan Amerika Syarikat.
Jurucakap Tehrik-e-Taliban Pakistan (TTP), Ehsanullah Ehsan, berkata kerajaan Pakistan, Asif dan tentera negara itu akan menjadi sasaran kumpulan terbabit.
Pakar hal ehwal puak Pakistan, Rahimullah Yusufzai, berkata kumpulan yang bersekutu dengan al-Qaeda dijangka bertindak balas atas kematian Osama.
“Mereka tidak akan membiarkan kematian Osama begitu saja dan kumpulan terbabit akan menunjukkan beberapa reaksi melalui serangan berani mati,” katanya.
Jika Pakistan dilihat terbabit dalam serangan ke atas tempat persembunyian Osama semalam, kemungkinan besar negara itu menjadi sasaran balas dendam.
Pengesahan Islamabad bahawa mereka tidak dimaklumkan mengenai serbuan itu pula boleh dilihat sebagai penghinaan kepada Pakistan.
Islamabad segera menyertai kempen ke atas pengganas diumum Presiden George W Bush pada 2001, tetapi berkali-kali kesal di atas korban jiwa yang terpaksa ditanggung hasil pembabitan mereka.
Lebih 4,240 orang terbunuh dalam pelbagai serangan bom dikaitkan dengan al-Qaeda sejak Julai 2007.
Sejak 2004, lebih 2,795 tentera Pakistan maut dan 8,671 lagi cedera dalam pertempuran dengan militan, Semalam, Pakistan meningkatkan kawalan keselamatan di Islamabad serta lokasi diplomatik sensitif berhampiran Abbottabad.
Sementara itu, Nato berkata, misi pertubuhan itu di Afghanistan akan diteruskan. — AFP, mymetro
No comments:
Post a Comment