Tuesday, May 3, 2011

Harlizan tertipu janji suami Lombok





HARLIZAN bersama anaknya, Zulfaqar berjaya pulang ke Kampung Nibung, Kuala Terengganu, semalam. - Foto Rozainah Zakaria
HARLIZAN bersama anaknya, Zulfaqar berjaya pulang ke Kampung Nibung, Kuala Terengganu, semalam. - Foto Rozainah Zakaria

Tinggalkan keluarga kejar kemewahan palsu

KUALA TERENGGANU: Selepas Nooriah Abdullah, 30, wanita yang melarikan diri ke Mataram, Lombok mengikut teman lelaki sebelum berkahwin dan melahirkan seorang anak pulang ke pangkuan keluarga di Langkawi, seorang lagi wanita dari Gong Kapas, di sini yang turut lari ke Lombok kerana cinta menjejaki langkahnya apabila pulang ke pangkuan keluarganya, semalam. 

“Setahun berada di sana (Lombok), banyak mengajar saya erti kehidupan dan saya bersyukur sangat apabila harapan dan doa untuk pulang semula ke tanah air termakbul.
“Selepas melalui pengalaman pahit ini, saya menasihati wanita di luar sana supaya tidak mudah termakan janji pemuda asing sehingga berkahwin kerana apa yang saya lalui ini satu teladan yang perlu dijadikan pedoman,” kata Harlizan Ibrahim, 36, yang mengalami penderitaan dan tekanan hidup selepas lari mengikut teman lelaki pulang ke Lombok untuk berkahwin.
Harlizan berasal dari Kampung Nibong di sini, lari mengikut teman lelakinya, Abdullah Asbi, 40, pada 2009, sebelum berkahwin di sana pada Julai tahun sama, sehingga dikurniakan seorang anak lelaki berusia 12 bulan, Zulfaqar Abdullah. 

Dia yang pernah berkahwin dan bercerai sebelum itu dan dikurniakan tiga anak dijaga bekas suami berkata, dia terpedaya dengan janji manis ditaburkan suaminya itu yang dikenali ketika bekerja di ladang kelapa sawit di Sungai Tong, Setiu sejak 2005. 

Katanya, segala janji manis ditaburkan kepadanya membuatkan dia sanggup mengetepikan keluarga dan mengikut lelaki itu ke Lombok untuk berkahwin, bagaimanapun, hidup menderita selepas suaminya itu menghilangkan diri dipercayai datang semula bekerja di Malaysia ketika dia sedang hamil lima bulan. 

“Sebelum ke Lombok, suami pernah memberitahu yang dia mempunyai pelbagai kemewahan termasuk rumah, dusun dan sawah serta menabur janji akan membuka satu perniagaan buatnya ketika dia tinggal di kepulauan itu. 
“Buntu dengan kehilangan suami dan desakan hidup menyebabkan saya terpaksa menjual barang kemas untuk menampung kehidupan sehingga melahirkan anak lelaki. Akibat desakan hidup ketika menumpang di rumah abang kepada suami, saya membuat aduan kepada pihak berkuasa Indonesia sebelum ditempatkan di rumah perlindungan,” katanya yang ditemui pada sidang media di Bangunan UMNO di sini, semalam. 

Harlizan dan anaknya pulang ke pangkuan keluarganya di Kampung Nibong, di sini, kelmarin dengan bantuan Pemuda UMNO Kuala Terengganu dan Biro Pengaduan Komuniti Pemuda UMNO Malaysia yang memulakan usaha sejak tiga bulan lalu. 

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Kuala Terengganu, Badrol Hisham Zaki, berkata Harlizan dibawa pulang melalui penerbangan dan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, jam 5.30 petang kelmarin, sebelum bertolak ke negeri ini dan tiba pada jam 6 pagi semalam. 

Di KUALA LUMPUR: Dua wanita rakyat Malaysia yang selamat dibawa pulang Sabtu dan Ahad itu hasil usaha dan kerjasama antara Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO dan Penguatkuasaan Imigresen (MIGRASI), Mataram. 

Penolong Pengarah Kanan Republik Migrasi Mataram, Pulau Lombok, Indonesia, Amirudin Utomo Diwirjo, berkata kedua-dua mereka berjaya dibawa pulang hasil rundingan sejak hujung tahun lalu tanpa dikenakan sebarang tindakan undang-undang meskipun kedua-dua mereka jelas melakukan kesalahan. -bharian

No comments:

Post a Comment