JADI BUKTI...gambar yang tersebar luas di Internet didakwa mayat Osama tetapi kesahihan imej ini diragui kerana ada kesan pengubahsuaian jelas pada janggutnya. |
WASHINGTON: Beberapa helikopter kelihatan berlepas dalam kegelapan malam dalam satu daripada misi antipengganas paling penting dalam sejarah Amerika Syarikat. Disebabkan ia terlalu rahsia, hanya beberapa orang terpilih di kalangan pegawai kanan AS mengetahui apa yang bakal berlaku.
Lokasinya, sebuah kawasan dikawal ketat di sebuah bandar elit di Pakistan, kira-kira dua jam perjalanan dari Islamabad. Sasarannya - Osama bin Laden.
Pegawai Agensi Perisikan Pusat (CIA) menemui kawasan itu pada Ogos tahun lalu ketika memantau pergerakan seorang utusan al-Qaeda.
CIA memang mengintip utusan itu selama beberapa tahun, iaitu sejak beberapa tahanan disoal siasat mendakwa dia sangat dipercayai Osama dan berkemungkinan besar tinggal bersama pemimpin al-Qaeda itu.
Terletak di kawasan kejiranan elit, bangunan itu dikelilingi tembok setinggi sehingga enam meter dan dilengkapi kawat berduri.
Dua pintu kawalan diletakkan di satu-satunya jalan masuk ke situ.
Tingkat tiga bangunan itu dilindungi tembok khas setinggi lebih dua meter.
Walaupun terletak di kawasan elit, premis itu tidak memiliki talian telefon atau Internet, manakala penghuninya kerap membakar sampah berbanding membuangnya di luar.
Perisik percaya bangunan bernilai berjuta-juta ringgit itu dibina lima tahun lalu untuk melindungi seorang tokoh penting, tetapi mereka tertanya-tanya siapakah individu terbabit.
Selepas meneliti dan menyelidik berkali-kali, CIA hampir pasti tokoh itu adalah Osama.
Presiden Barack Obama menjelaskan mengenai operasi itu dengan panjang lebar pada malam kelmarin selepas butiran mengenainya diperoleh hasil temu bual dengan pihak berkuasa antipengganas dan perisikan.
Katanya, selama dua setengah bulan kemudian, Obama mengetuai lima mesyuarat Majlis Keselamatan Kebangsaan yang bertemu khusus untuk membincangkan sama ada Osama benar-benar bersembunyi di kediaman mewah berkenaan.
“Jika benar, bagaimana mahu bertindak ke atasnya?” katanya.
Biasanya, AS berkongsi maklumat risikan antipengganas dengan sekutu kepercayaannya seperti Britain, Kanada dan Australia, selain melancarkan operasi di Pakistan dengan kerja sama pasukan keselamatan negara berkenaan.
Namun, misi semalam terlalu penting dan amat sulit.
Pada 29 April, Obama meluluskan operasi membunuh Osama.
Ia memerlukan ketepatan mutlak, mengatasi kemampuan dilakukan pesawat tanpa juruterbang AS, Predator.
Untuk menyempurnakannya, Obama mengumpulkan beberapa anggota SEAL (unit elit tentera laut) dan meletakkan mereka di bawah arahan langsung Pengarah CIA, Leon Panetta.
Bilik mesyuarat Panetta juga ditukar menjadi pusat pemerintahan khas operasi.
Butiran sebenar bagaimana serbuan dilakukan masih kabur, tetapi tiada seorang pun tentera AS cedera.
Seorang sumber kanan cuma berkata, Osama melawan ketika diserbu dan dia akhirnya terbunuh akibat tembakan di kepala.
Tepukan dan sorakan bergema di dalam pusat pemerintahan khas operasi ketika maklumat mengenai kematian Osama tiba tengah hari semalam. - Reuters, mymetro
No comments:
Post a Comment