Monday, May 9, 2011

Buruh saman kerajaan RM300,000




KOTA BHARU – Buruh berusia 22 tahun memfailkan saman menuntut ganti rugi RM300,000 terhadap kerajaan selepas pendengarannya terjejas dipercayai akibat ditampar anggota polis kira-kira dua tahun lalu.

Muhammad Shahir Yusof, 22, dari Kampung Kual Baroh Geting, Pengkalan Kubor, Tumpat memfailkan writ saman itu melalui peguamnya Shaharudin Mohamed dari Tetuan Shaharudin, Hidayu & Marwaliz.

Saman itu difailkan jam 3 petang oleh Shaharudin di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, semalam terhadap tiga defendan iaitu anggota polis yang tidak diketahui namanya, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Khaled Munap dan kerajaan Malaysia.

Dalam pernyataan tuntutannya, Muhammad Shahir memohon ganti rugi teladan dan teruk berjumlah RM300,000 manakala ganti rugi am akibat kecederaan dialami akan ditafsirkan mahkamah kelak.

Shaharudin berkata, gegendang kedua-dua belah telinga pemuda itu terkoyak akibat kecederaan selepas ditampar anggota polis yang menjalankan soal siasat di Balai Polis Tumpat.

“Kami memfailkan saman kepada anggota polis yang tidak dinamakan kerana sehingga sekarang pihak polis tidak memberikan nama anggota polis terlibat walaupun kawad cam dilakukan plaintif.

“Kejadian itu berlaku pada 16 Oktober 2009 dan laporan polis pula dibuat di Balai Polis Kota Bharu pada 26 Oktober 2009,” katanya kepada pemberita, semalam.

Dua tahun lalu, Sinar Harian melaporkan seorang buruh mendakwa pecah kedua-dua gegendang telinganya dipercayai ditampar pihak berkuasa. Muhammad Shahir dikatakan mengalami kecederaan berkenaan selepas ditampar berkali-kali oleh anggota polis supaya mengaku dalam kesalahan mengedar dadah. Berikutan kejadian itu, dia menerima rawatan di Hospital Tumpat dan pakar Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini yang mengesahkan kecederaan yang dialaminya.

Muhammad Shahir berkata, pada 16 Oktober dua tahun lalu dia ditahan anggota polis ketika dalam perjalanan pulang di Kampung Neting dari Pantai Sri Tujuh kira-kira jam 7.30 petang. “Saya ditahan dan di bawa ke balai polis daerah Tumpat untuk disiasat dan saya ditampar berkali-kali sehingga cedera.

“Anggota polis terbabit memaksa saya mengaku terlibat dalam pengedaran dadah sebelum bertindak menampar kedua-dua belah telinga saya,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan dia didapati tidak bersalah lalu dibebaskan namun selepas itu pendengarannya terjejas akibat kecederaan pada gegendang telinga.

Katanya, pendengarannya kurang jelas dan ia pulih selepas tiga bulan kejadian itu berlaku tetapi tidak seperti sebelumnya kerana sudah terjejas tidak seperti sedia kala.

No comments:

Post a Comment