NASHVILLE (Tennessee): Dua pemimpin Islam tempatan mendakwa mereka diarah keluar dari pesawat komersial di Memphis kelmarin apabila juruterbang enggan berlepas selagi mereka berada di dalamnya.
Pensyarah jemputan bahasa dan kesusasteraan Arab di Universiti Memphis, Masudur Rahman, berkata pada awalnya dia bersama seorang imam dibenarkan menaiki pesawat Delta Connection dari Memphis ke Charlotte, Carolina Utara.
Bagaimanapun, sejurus kemudian mereka diminta meninggalkan pesawat berkenaan.
Jurucakap Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan, John Allen, mengesahkan kejadian itu tetapi mendakwa, agensi berkenaan tidak ada kena-mengena dengan insiden itu.
Jurucakap syarikat Delta Airlines berkata, pesawat itu dikendalikan syarikat Atlantic Southeast Airlines yang berpangkalan di Atlanta.
Menurut Masudur Rahman, dia mengenakan pakaian tradisional India, manakala rakannya, Mohamed Zaghloul, berpakaian Arab lengkap dengan serban.
Mohamed Zaghloul adalah aktivis Persatuan Islam Greater Memphis.
Kata Masudur Rahman, pada peringkat awal, pesawat itu bergerak perlahan-lahan meninggalkan terminal.
Bagaimanapun, tidak lama kemudian, katanya, juruterbang mengumumkan mereka terpaksa berpatah balik ke terminal.
“Sejurus selepas itu, saya dan Mohamed Zaghloul diarah kru kabin supaya pergi ke pintu berlepas semula dan dimaklumkan juruterbang enggan menerima kami, kononnya kerana ada penumpang tidak selesa,” katanya.
Menurut Masudur Rahman, kakitangan syarikat penerbangan itu berbincang dengan juruterbang terbabit selama lebih setengah jam tetapi gagal memujuk menukar fikiran.
Masudur Rahman dan Mohamed Zaghloul kemudian mengalah dan menempah tiket untuk penerbangan selanjutnya. - AN
mymetro
No comments:
Post a Comment